
PENYANYI Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 46, hari ini berjaya mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang mana-mana pihak termasuk media membincangkan atau menyebarkan gambar mengenai kesnya yang didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Rozana Misbun pada 2 Jun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman selepas mendengar permohonan peguam bela Awie iaitu Hazman Harun dan Aimizaizul Amran yang memberi alasan perbincangan yang tidak berasaskan fakta mengenai kes itu mampu merosakkan reputasi anak guamnya.
Walau bagaimanapun, Ayuni Izzaty menjelaskan bahawa mahkamah tidak menghalang pihak media daripada melaporkan kes berkenaan yang dibicarakan di dalam mahkamah agar tidak berlaku percanggahan fakta.
Mengikut pertuduhan, Awie didakwa sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap Rozana pada 2 Jun lalu kira-kira pukul 1.30 petang di alamat No. 9 Jalan UB 5B, Taman Ukay Bestari, Ukay Perdana, Hulu Kelang.
Jika sabit kesalahan penyanyi itu boleh dihukum mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaaan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim.
Sementara itu, Hazman ketika ditemui pemberita di Mahkamah Majistret Ampang hari ini berkata, pihak luar tidak boleh sewenang-wenangnya membuat telahan dan andaian terhadap kes yang sedang berjalan di mahkamah meskipun Awie seorang selebriti.
"Kita buat permohonan itu kerana tiada siapa patut membuat komentar, telahan atau andaian malah menyebarkan gambar-gambar kerana ia tidak adil kepada pihak tertuduh kerana ia mampu menjatuhkan reputasinya sebelum mendapat keadilan di mahkamah.
"Niat kita bukan ingin menentang kebebasan media dan tidak mempunyai masalah sekiranya pihak media ingin melaporkan apa yang berlaku dalam mahkamah atau pun kenyataan saksi," beliau dipetik sebagai berkata.
Awie dan Rozana, 36, dilaporkan berkahwin secara rahsia di Selatan Thailand pada 2005. Terdahulu Awie pernah berkahwin dengan penyanyi Arni Nazira pada Disember 1998 sebelum bercerai pada Oktober 2006.
Mahkamah menangguhkan kes berkenaan pada 23 September depan.