Filem Lucy



BAGI peminat genre sains fiksyen, Lucy, menjadi filem yang wajib ditonton! Dibintangi Scarlett Johansson sebagai teraju utama, Lucy bukan sekadar naskhah yang menghidangkan aksi atau imaginasi kosong semata-mata. Sebaliknya karya arahan Luc Besson ini turut diselitkan dengan ilmu sains atau lebih tepat dipanggil filem fiksyen berbentuk ilmiah.

Sedikit mengenai sinopsis filem ini, Lucy mengisahkan seorang wanita muda (Johansson) yang diperdaya teman lelakinya untuk menyerahkan sebuah beg yang mengandungi dadah jenis CPH4 kepada ketua mafia yang bernama Mr Jang.

Lebih menyedihkan dia turut menjadi mangsa mafia tersebut apabila dipaksa menjadi 'keldai dadah' dengan perutnya 'ditanam' dadah untuk di seludup ke Eropah.






Dalam tempoh kurungan, Lucy dipukul oleh konco mafia yang ingin mencabulnya. Kesan dari pukulan itu, dadah di dalam perutnya itu mulai pecah dan memberikan kesan kepada dirinya. Lucy yang dulu hanya wanita biasa dan lemah berubah menjadi sangat hebat serta berkuasa.

Melihat perubahan itu, pasti ramai yang membuat persamaan watak Lucy itu dengan superhero yang sedia ada di layar perak. Kebolehannya meramal masa depan, membaca minda, melawan musuh serta mengawal apa saja subjek di bumi menjadikan watak Lucy itu tak ubah seperti superhero.

Bagaimanapun, ia sebenarnya jauh berbeza dari filem superhero yang biasa kita tonton. Kenapa? Filem ini menggunakan logik akal dan hukum sains dalam menggerakkan keseluruhan plot dan bukan sekadar menonjolkan imaginasi atau fantasi semata-mata.

Malah di sebalik watak Lucy, berdirinya watak Profesor Samuel Norman lakonan Morgan Freeman yang menjelaskan serta menguraikan hukum sains itu sendiri.


Bukan sekadar fiksyen!

Boleh disifatkan sebagai filem sains fiksyen yang baru dan segar dengan konsep ilmiah yang dibawa, Lucy bagaimanapun turut disamakan dengan filem aksi Limitless lakonan Bradley Cooper yang ditayangkan pada 2011.

Menjadikan 'dadah' sebagai inti pati utama cerita, filem itu turut menunjukkan kuasa luar biasa watak utamanya setelah mengambil sejenis dadah.

Namun bagi penulis, Lucy tetap punya kelainan dan berdiri dengan naratif penceritaannya sendiri, di mana kisah kehebatan manusia yang mampu menguasai 'akalnya', berusaha demi kebaikan sejagat.

Menjalani penggambaran di Taipei, Paris dan New York City, Lucy boleh disifatkan sebagai naskhah yang sarat dengan tanda tanya.

Dari awal cerita, sudah terbina unsur suspens dan membuatkan penonton ingin tahu apakah yang akan terjadi seterusnya. Malah kekuatan dan kehebatan Lucy sebagai superhero itu turut dipamerkan dengan cara tersendiri.

Sebagai filem sains fiksyen, pengarahnya, Besson, tidak hanya membuatkan penonton berfantasi, sebaliknya berfikir serta mendalami kejadian manusia dan segenap kehidupan di muka bumi.

Turut mengetengahkan teori Charles Darwin, mengenai evolusi manusia, hakikatnya watak Lucy itu diambil sempena nama monyet betina pertama dalam sejarah dunia ciptaan Darwin.

Ketepikan tentang teori tersebut, keindahan filem ini dapat dilihat menerusi kreativiti Besson yang membawa hukum sains menerusi visual yang dipaparkan.

Paling ketara menerusi hujah penguasaan akal dan fikiran manusia seperti mana yang diterjemahkan menerusi watak Lucy oleh Professor Samuel Norman.

Selain itu, Beeson juga bijak bermain dengan unsur semiotik dan perlambangan bagi memberi persamaan dengan situasi yang dialami setiap karakter.

Sebagai contoh, watak Lucy ketika diperdaya teman lelakinya turut diberi persamaan dengan visual 'harimau sedang memburu rusa' yang mana rusa itu adalah simbol terhadap diri Lucy sebagai mangsa.

Bukan juga filem sains semata-mata, Besson nampaknya tidak lupa untuk menerapkan elemen kemanusiaan dan mesej yang sangat besar menerusi filem yang berbajet RM500 juta dolar.

Lucy mengingatkan kita, betapa mudah golongan muda diperdaya dan dipaksa menjadi 'keldai dadah'. Betapa pentingnya kita perlu menjaga batas pergaulan dan memilih rakan. Juga memelihara amanah serta kepercayaan orang tersayang terutama ibu bapa.




Kehebatan Johansson

Pesona bintang ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Selain memiliki rupa paras menawan, Scarlett Johansson juga sangat berkarakter di layar perak. Pernah membintangi beberapa filem box-office seperti The Avengers, Captain America dan Iron Man 2, maka tidak hairanlah mengapa namanya terpilih untuk membintangi filem Lucy.

Sudah sebati dengan filem-filem aksi, Lucy turut memberi cabaran baharu buat bintang kelahiran New York ini apabila dia harus mencipta watak itu dengan caranya tersendiri. Jika tidak, masakan trailer filem ini sahaja sudah mampu menambat hati ramai penonton.

Sebagai teraju utama, kehebatan Johansson bukan hanya terletak pada aksinya semata-mata, bahkan juga melalui penghayatan menjadi Lucy, yang mana mengalami perubahan diri dari setiap kemampuannya menguasai akal.

Bukan hanya Johansson, lakonan orang lama seperti Morgan Freeman turut menghidupkan filem ini. Terkenal sebagai pelakon versatil, watak Professor Samuel Norman, bukanlah sesuatu yang sukar buat bintang ini. Dengan gaya yang bersahaja, namun penuh penghayatan, Freeman mampu meyakinkan sesiapa sahaja yang menyaksikan watak lakonannya.

Previous Post Next Post