Hadiah Aidilfitri paling bermakna Amy Search



NIKMAT raya. Amy bersamaNabila dan isterinya, Norish teruja menyambut raya bersama-sama selepas dua tahun tidak meraikannya bersama.

SAMBUTAN Syawal pada tahun ini pastinya sesuatu yang istimewa buat penyanyi rock legenda tanah air, Amy Search apabila dapat meraikannya bersama-sama dengan anaknya iaitu pelakon Nabila Huda.

Sebelum ini, ramai yang sudah mengetahui tentang kemelut yang melanda antara Amy dan Nabila, terutamanya tindakan Nabila yang memuat naik sekeping gambar dia bersama seorang lelaki yang dipercayai kekasihnya sedang bercuti di luar negara di Instagram sebelum ini. Akibatnya, Amy berkenaan telah meluahkan kemarahannya menerusi Instagram.

Malah, Amy yang ditemui semasa majlis berbuka puasa di sebuah hotel pada awal bulan puasa lalu pernah memberitahu, beliau ingin bersemuka dengan anaknya setelah kali terakhir mereka bertemu pada 5 November 2013.

Bagaimanapun, pada 1 Syawal yang lalu Amy telah memuat naik beberapa keping gambarnya bersama Nabila ketika menyambut Aidilfitri di Instagram dengan luahan kata-kata penuh kesyukuran.

Amy yang telah dihubungi Kosmo! semalam menyatakan, beliau sangat gembira dan bersyukur apabila dapat menyambut Aidilfitri bersama Nabila di kampung kelahirannya di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru, Johor.

“Memang sukar untuk meluahkan perasaan yang dialami ini, tetapi saya berasa sangat bersyukur kerana akhirnya dapat bertemu dengan Nabila dan kami bersama-sama dapat menyambut Aidilfitri sekeluarga.

“Saya percaya bahawa ini merupakan berkat doa yang tidak putus-putus agar saya dapat bertemu dengan Nabila. Ternyata doa saya untuk bertemu Nabila telah dimakbulkan oleh Allah,” luahnya dengan nada gembira.

Menceritakan tentang detik pertemuan dengan anaknya itu, Amy memberitahu bahawa beliau dan Nabila sudah saling berhubung melalui panggilan telefon sejak seminggu sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.

Menurutnya, Nabila telah pun menghubunginya dan mereka berbual dalam tempoh yang agak panjang. Malah, pada kesempatan itu banyak perkara yang telah dibincangkan oleh mereka berdua.

“Pelbagai perkara yang telah kami bincangkan bersama-sama ketika berbual di telefon, termasuklah memberikan nasihat mengenai masa depan dirinya dalam bidang seni yang diceburinya sekarang.

“Selain itu, saya ada memintanya supaya pulang ke kampung untuk berhari raya bersama keluarga dan dia akur dengan permintaan saya. Itu yang membuatkan saya berasa sangat gembira sekarang,” ujarnya.

Amy yang baru sahaja menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-56 pada 1 Syawal lalu berkata, segala perkara positif yang berlaku itu dianggap sebagai hadiah paling bermakna buat dirinya.

“Saya rasa ulang tahun kelahiran kali ini paling istimewa buat diri saya. Selain doa saya dimakbulkan Allah apabila bertemu Nabila, saya juga telah dapat berhubung menerusi Skype dengan seorang lagi anak saya, Irisha Myra yang kini menetap di Texas, Amerika Syarikat,” jelasnya.

Ujar Amy, beliau dan keluarganya menyambut Aidilfitri di kampung halamannya selama empat hari sahaja sebelum pulang ke Kuala Lumpur.


Previous Post Next Post