SELEPAS menerima sambutan yang memberangsangkan tahun lalu, drama bersiri Ema Emyliana bakal kembali di kaca televisyen.
Masih mengekalkan teraju utama Eyka Farhana (Ema/Emyliana), Siti (Errynne Errynna), Joey (Harris Alif), Roy Azman (papa) dan Elly Mazlein (mama), drama ini turut mengundang penyanyi yang kian meningkat naik, Ainan Tasneem, sebagai penampilan khas.
Biarpun telah siap menjalani penggambaran, namun pihak produksi masih menunggu tarikh yang sesuai untuk ditayangkan kepada penonton.
Pengarahnya, Azmi Hatta, berkata, Ema Emyliana akan ditayangkan di TV3 dalam masa terdekat ini dan dia sangat bersyukur kerana dapat menyiapkan drama itu dalam masa yang telah ditetapkan.
"Alhamdulillah... selain musim kedua, kami turut bekerja keras untuk musim ketiga.
"Bagi musim kedua ini, saya masih belum pasti sama ada masih kekal ditayangkan di Slot Bananana TV3 atau di slot lain.
"Namun yang pasti, peminat siri ini akan tetap menantikan kesinambungan Ema Emyliana," katanya.
Drama 20 episod ini mengisahkan kehidupan Ema yang menyamar sebagai Emyliana, semakin dikenali selepas berjaya dalam pertandingan nyanyian.
Rentetan daripada itu, kehidupannya semakin kalut apabila terpaksa menjalani dua watak berbeza sebagai remaja biasa dan penyanyi popular.
Namun dia bernasib baik kerana rakannya, Siti dan Joey banyak membantu menyembunyikan statusnya daripada perhatian umum.
Terap nilai positif
Kisah remaja yang kian membesar mempunyai pelbagai cabaran terutamanya ibu bapa yang banyak memainkan peranan untuk membentuk anak-anak.
Ia merupakan antara nilai-nilai positif yang cuba disampaikan oleh Azmi menerusi drama ini.
Katanya, Ema Emyliana bukan sahaja kisah hidup remaja biasa yang cuba mengejar cita-cita sebagai penyanyi tetapi tanggung jawab ibu bapa turut diselitkan.
"Saya ingin terapkan unsur-unsur positif agar ianya menjadi panduan buat masyarakat di luar sana.
"Apa yang ditekankan adalah nilai persahabatan dan kekeluargaan supaya penonton jadikan ia sebagai tauladan.
"Jalan cerita kisah ini juga diangkat berdasarkan kisah sebenar masyarakat tanpa kita sedari ianya benar-benar berlaku di kalangan kita," ujarnya.
Tambah Azmi, dia berharap penonton dapat menilai karya baharunya ini, baik atau buruk ia seharusnya dijadikan sebagai pengajaran.
Sambungnya, dia bukan sahaja menjadikan sebuah drama itu hanya hiburan semata-mata sebaliknya terdapat unsur-unsur berguna kepada masyarakat.
"Selain itu, saya turut menjemput beberapa pelakon popular seperti Altimet dan Hanez Suraya sebagai jemputan.
"Manakala, terdapat babak istimewa yang menampilkan penyanyi dan penulis lagu, Najwa Latiff yang dikenali sebagai ikon remaja," katanya.
Terpaksa berpanas terik
Tidak lari daripada cabaran, Azmi berkata kebanyakan penggambaran dilakukan dalam bulan Ramadan, memberi kesan terhadap semua pelakon dan kru.
"Kami terpaksa berpanas terik dan bekerja keras dalam masa sama menyiapkan drama ini.
"Biarpun ia merupakan cabaran terbesar bagi kami, Alhamdulillah kami berjaya melakukannya," katanya.
Jelas Azmi, sewaktu penggambaran ramai krunya terpaksa 'berehat' sebelum meneruskan ke babak seterusnya.
"Tenaga kami cepat habis kerana perlu berpuasa sambil bekerja. Bahkan kami mengambil masa agak panjang untuk menyiapkan drama ini.
"Biarpun ada yang pengsan, kami tetap teruskan kerja seperti biasa mengikut jadual," katanya.
Dalam masa sama, Azmi berkata penggambaran untuk drama ini memakan masa sebulan lebih itu akan disambung semula selepas hari raya untuk musim ketiga.
"Saya bersyukur stesen TV masih mempercayai khidmat saya kerana menyambung drama ini ke musim ketiga.
"Namun, untuk musim ini, banyak kejutan yang akan berlaku dan saya tidak mahu mengulas banyak mengenainya.
"Tunggu musim kedua habis ditayangkan terlebih dahulu, barulah saya akan cerita dengan lebih lanjut," katanya mengakhiri perbualan.