
MELLY GOESLAW akan lebih berhati-hati dengan penggunaan perkataan yang berunsur positif dalam setiap lirik lagunya selepas ini.
KOMPOSER dan penyanyi Melly Goeslaw cukup terkenal dengan imej eksentriknya. Tidak kira di atas pentas mahupun dalam klip video, peminat sudah terbiasa dengan fesyen sarat yang sering diperagakan olehnya.
Justeru, apabila pelantun lagu Lelaki Idaman ini mengambil keputusan untuk berhijab sepenuhnya selepas mengerjakan umrah sekitar tiga bulan yang lalu, ramai antara peminatnya yang terkejut dengan perubahan drastik tersebut.
Ketika berkesempatan bertemu dengannya pada majlis pelancaran drama bersiri Cinta Ibadah di Hotel Best Western Premier, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini, Melly memberitahu, dia mengenakan hijab bukan atas sebab terpaksa atau disuruh, tetapi, keputusan itu dibuat atas kerelaan hatinya sendiri.
"Sejujurnya, saya ingin mengenakan hijab selepas mengerjakan umrah kali pertama pada tahun 2011. Tetapi, niat itu terhenti selepas saya berdolak-dalik memikirkan reaksi peminat pada waktu itu.
"Peminat sudah sedia maklum mengenai cara saya berfesyen dan pada waktu itu saya bimbang jika mereka tidak dapat menerima saya sebagai penyanyi yang menutup aurat sepenuhnya," ujar Melly.
Namun, penyanyi yang pernah menulis cerita pendek berjudul Tentang Dia ini mengakui, sebaik sahaja dia pulang ke negaranya usai mengerjakan umrah buat kali yang kedua, hatinya berasa malu kepada Allah S.W.T apabila mahu membuka aurat.
"Saya berasa malu kepada Allah. Selama ini, saya sering mengabaikan perkara yang berkaitan dengan penjagaan aurat. Apatah lagi jika ia adalah kewajipan yang perlu dituruti oleh setiap umat Islam.

KATA Melly dia masih belajar banyak perkara untuk menjadi muslimah yang lebih baik.
"Jadi, saya terus mengambil keputusan untuk menutup aurat dan mengenakan hijab sepenuhnya. Saya yakin, mengenakan hijab atau tidak, rezeki saya telah ditentukan oleh Allah. Semoga saya terus kekal sebegini dan sentiasa beristiqamah," tutur Melly sambil memberitahu dia kini berasa lebih tenang selepas berhijrah.
Lirik positif
Ketika ditanya tentang perubahan lanskap muzik garapannya, Melly berkata, dia mungkin lebih memilih dan selektif dalam menentukan genre yang bakal dibawanya dalam albumnya akan datang.
Melly menambah, dia juga akan menekankan penggunaan bahasa yang membawa maksud positif dalam penulisan lirik bagi setiap lagunya.
"Dulu saya cukup terkenal dengan lirik lagu yang gila-gila. Selain itu, saya juga sering muncul dengan muzik berentak dance atau pop rancak.
"Setelah mengenakan hijab, saya akan lebih berhati-hati dalam pemilihan kata-kata serta struktur ayat agar maksud yang ingin disampaikan kelak tidak keterlaluan," ujarnya yang turut berbuat demikian jika ada penyanyi yang mahu menggunakan khidmatnya sebagai penulis lagu.
Begitupun, Melly menegaskan, dia masih kurang arif tentang istilah keagamaan dan belum bersedia untuk mencipta lagu-lagu ketuhanan yang sarat dengan penggunaan istilah arab.
"Saya belum sampai ke tahap itu. Namun, saya akan belajar perlahan-lahan dan terus memperbaiki karya-karya saya pada masa hadapan," ujarnya lagi.
Cinta Dan Ibadah
Dalam perkembangan lain, Melly telah diberi tanggungjawab oleh pihak Astro untuk mencipta lagu runut bunyi bagi drama bersiri Cinta Ibadah berjudul Cinta Dan Ibadah.
"Kira-kira lima bulan yang lalu, pihak Astro telah menghubungi saya dan menawarkan saya peluang mencipta sebuah lagu untuk drama bersiri ini. Setelah membaca sinopsis drama berkenaan, saya cukup tertarik dengan kekuatan cinta yang ditonjolkan oleh setiap karakter dan terus bersetuju menerima tawaran tersebut.
"Cerita ini sangat berbeza dan mempunyai kelainan yang tersendiri jika dibandingkan dengan drama yang lain. Malah, cerita sebegini juga tidak pernah dibikin di negara saya," ujarnya sambil tersenyum.
Drama bersiri arahan Ayie Mustafa dan Sridhar Jetty ini bakal bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 5 petang bermula 8 September ini menerusi Astro Prima (saluran 105) dan Maya HD (saluran 135).
Antara pelakon yang terlibat menjayakan drama Cinta Ibadah termasuklah Aishah Illias, Fattah Amin, Raja Iylia, Sherry Ibrahim, Nor Albaniah dan Shahronizam.