Siti Nurhaliza, Sentap dan merajuk manja itu biasa


Penyanyi, Siti Nurhaliza

Hari ini (21 Ogos) genap lapan tahun usia perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza dengan Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa (Datuk K).

Bagi penyanyi lagu Jaga Dia Untukku itu, tempoh lapan tahun yang dilalui penuh dengan warna kegembiraan, cabaran dan ujian seperti mana pasangan berkahwin lain.

Ada yang indah untuk dikenang sebagai memori terbaik dalam perkahwinannya dan tak kurang untuk dititip sebagai pengajaran serta pengalaman berharga yang mendewasakan hidup.

BH Online menghubunginya sebentar tadi untuk berkongsi rasa dari sudut hatinya bergelar wanita paling istimewa dalam hidup Datuk K.






"Sebagai seorang wanita dan selebriti yang berkahwin, lapan tahun ini cukup membahagiakan Siti. Alhamdulillah di atas semua yang dilalui selama ini. Kahwin itu dengan sendirinya kita merujuk kepada perkongsian hidup antara dua insan. Saling lengkap melengkapi.

"Perkahwinan dengan lelaki yang pernah berkahwin dan mempunyai empat anak lelaki memberi skeptikal tersendiri pada awalnya. Tapi Siti bertuah anak suami menghormati dan menerima diri ini seadanya. Tapi adatlah rumah tangga mana tak dilanda masalah. Sentap sana dan sini serta merajuk itu biasalah. Barulah seronok dan thrill kalau begitu.

"Kalau tak ada sentap atau merajuk manja itu hambar jadinya. Cuma apabila ada masalah, paling penting suami dan isteri perlu bawa berbincang. Komunikasi itu juga penting untuk kita atasi masalah yang timbul supaya tidak berlarutan," katanya.

Bagi Siti, suaminya secara jelas begitu matang melayari perkahwinan mereka.

"Dia banyak bagi nasihat. Biasalah kalau ada percanggahan serta perbezaan pendapat. Dugaan itu ada di mana-mana. Jadi menerusi komunikasi dua hala, kita sama-sama menjelaskan serta memahami keadaan berbangkit. Kalau dia melenting, Siti tak boleh tambah panasnya. Kena tunggu dia cool dulu.

"Kalau Siti merajuk, sebelum tidur dia akan pujuk selalunya. Siti merajuk pun tak lama. Kami bergaduh manja itu selalunya tak berpanjangan. Kalau nak terasa lagi, itu cerita lain," katanya.

Dari sisi kebahagiaan yang dilalui Siti, persoalan mengenai zuriat terus-terusan dinantikan ramai.

"Pasangan berkahwin mana yang tak mahukan zuriat sendiri. Siti tak terkecuali. Walau bagaimanapun Siti tahu perancangan Tuhan itu lebih baik. Semuanya sudah tertulis di Luh Mahfuz mengenai jodoh, rezeki, takdir dan juga soal anak.

"Siti dan suami tak pernah putus berusaha soal ini. Tambahan pula kami memang sukakan budak-budak. Hingga saat ini Siti percaya ketentuan kepada setiap perjalanan hidup ini. Doa terus dipanjatkan di samping usaha, supaya yang diingini dipermudahkan. Selebihnya Siti banyak berserah," kata pengusaha produk SimplySiti itu.




Sehari sebelum ulang tahun perkahwinan mereka, Siti dibawa suami ke satu restoran di Kuala Lumpur untuk meraikannya.

"Di usia lapan tahun ini, bukan hadiah yang diberikan menjadi ukuran. Yang dilebihkan ialah lebih kepada soal terus merencana masa depan selain mengukuhkan kasih sayang supaya semakin kuat. Kalau di awal perkahwinan dulu, kita masing-masing cuba memahami rentak pasangan dan kini lebih memberi semangat serta sokongan padu.

"Dalam tempoh lapan tahun itu, Siti juga diuji dengan cabaran getir apabila suami berdepan kemalangan jalan raya di New Zealand sekitar hujung tahun 2012. Tapi Alhamdulillah suami sudah 99 peratus sihat sepenuhnya dan Siti sendiri melihat prosesnya untuk terus kuat menjalani kehidupan kini.

"Tempoh sekarang pun bukan seperti zaman bercinta yang sepanjang masa perlu menghubungi sesama sendiri. Kita sudah faham dengan kesibukan masing-masing tapi apa terjadi pun komunikasi seperti yang saya tekankan menjadi nadi dalam melancarkan hubungan," katanya.

Ahad ini sekitar jam empat, Siti akan berada di pusat membeli belah Pavilion untuk sesi bertemu dan beramah mesra dengan peminat dalam mempromosikan album terbarunya, Fragmen.

"Sudah lama Siti tak buat sesi ini bersama peminat. Tapi Siti teruja dan tak sabar untuk bertemu mereka nanti," katanya.
Previous Post Next Post