
TOI (depan, kanan) ketika dirakam bersama empat anggota Hyper Act. Dia menyertai kumpulan ini sejak tahun 2010.
SEJAK menyertai Akademi Fantasia 6 (AF6) pada tahun 2008, kerjaya Khairul Nizam Baharom atau lebih dikenali sebagai Toi dalam bidang seni semakin berkembang, biarpun sebelum itu dia sudah dikenali sebagai seorang pemain angklung.
Di sebalik kerjayanya sebagai penyanyi, Toi kemudiannya mengambil keputusan untuk menubuhkan kumpulan Hyper Act yang dianggotai Ronnie, Freddy, Etan, Labib dan Akir pada tahun 2010.
Bagaimanapun, peranan Toi dalam kumpulan berkenaan sekadar sebagai pemain bass dan Ronnie pula bertindak selaku vokalis. Ketika ini, mereka terkenal dengan beberapa buah lagu seperti Harapan dan Hanya Aku.
Bertemu dengan Toi pada sidang akhbar Anugerah K Neway 2014 di One Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Toi lantas ditanya mengenai masa depannya bersama Hyper Act memandangkan dia turut aktif sebagai penyanyi solo.
Kosmo!: Apakah perkembangan terbaharu kerjaya Toi sekarang?
TOI: Saya baru sahaja melancarkan single berjudul Angkara dengan penampilan istimewa kumpulan Jambu.
Ia merupakan sebuah lagu berentak pop dan kini sudah mula diputarkan di beberapa buah stesen radio.
Saya memilih kumpulan Jambu untuk berkolaborasi bersama saya dalam lagu ini kerana tertarik dengan aksi mereka ketika persembahan tema muzikal komedi sewaktu bertanding dalam program Maharaja Lawak Mega sebelum ini.
Sejak menjadi penyanyi secara serius, sudah berapa banyak lagu yang telah anda hasilkan?
Selain lagu Angkara, saya sudah menghasilkan sebanyak tiga buah lagu iaitu Catatan Rindu, Lalilala dan Rindu Pengubat Luka. Menariknya, ketiga-tiga lagu berkenaan pernah menjadi lagu runut bunyi untuk drama bersiri.
Setelah empat buah lagu yang dihasilkan, adakah anda merancang untuk menghasilkan album?
Perancangan itu memang sudah lama terlintas, tetapi rasanya mungkin agak lambat lagi untuk direalisasikan dan paling awal pun tahun hadapan. Lagipun, saya sudah ada beberapa lagu lain yang menunggu masa untuk dirakamkan.
Bagaimanapun, saya lebih suka mengambil pendekatan untuk popularkan satu demi satu lagu yang dihasilkan terlebih dulu sebelum kesemuanya dikumpulkan dan dijadikan sebuah album.
Memandangkan anda aktif sebagai penyanyi solo, adakah ia tidak mengganggu komitmen anda bersama Hyper Act?
Setakat ini saya masih lagi mampu menyusun jadual dengan teratur lagi. Namun, kalau jadual saya membuat persembahan solo bertembung dengan Hyper Act saya akan lihat yang mana satu lebih penting.
Sebenarnya, ada juga beberapa tawaran membabitkan Hyper Act yang tidak menampilkan saya bersama, namun ia bukanlah satu masalah besar kerana tanpa saya Hyper Act masih boleh membuat persembahan.
Pernahkah anda terfikir menarik diri daripada Hyper Act dan memberi fokus kepada kerjaya solo sahaja?
Sehingga kini, perkara tersebut langsung tidak pernah terlintas dalam fikiran memandangkan saya sendiri yang menubuhkan Hyper Act serta tidak mahu ahli kumpulan lain patah semangat sekiranya saya tarik diri.
Biarpun mereka masih mampu membuat persembahan tanpa pembabitan saya, tetapi Hyper Act kekal utuh dalam diri saya. Lagipun mereka tidak kisah dan sangat memahami kalau saya mahu meneruskan komitmen secara solo dan kumpulan.
Sebelum menyertai AF6 dahulu, anda dikenali ramai sebagai seorang pemain angklung. Adakah kini anda masih aktif bermain alat muzik tersebut?
Kalau diikutkan saya tidak pernah meninggalkan permainan angklung, cuma tawaran yang diterima mengadakan persembahan bermain angklung dalam dua atau tiga kali setahun.