Shiqin Kamal
NAMA Shiqin Kamal dalam lapangan seni barang kali masih kedengaran agak asing. Namun gadis yang baru menginjak ke usia 23 tahun ini pernah mencatat sejarah tersendiri dalam karier lakonannya.
Masakan tidak, baru sahaja menjinakkan diri dalam arena lakonan, Shiqin sudah diberi kepercayaan untuk membawakan watak utama dalam filem Lagenda Budak Setan.
Namun kerana kekangan masa sebagai penuntut pada ketika itu, Shiqin terpaksa menolak pelbagai tawaran yang datang silih berganti.
"Ketika itu saya masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), jadi kerana tidak mahu ketinggalan kuliah, jadi saya terpaksa menolak banyak tawaran.
"Namun dek kerana keputusan saya itu, ramai yang ingat saya tidak mahu berlakon dan lama-lama orang mula lupa saya.
"Alhamdulillah kini saya sudah tamat penggajian dalam jurusan Sarjana Muda Sains Aktuari. Jadi saya rancang untuk kembali aktif selepas ini," ujarnya yang ditemui Zass di lokasi penggambaran filem terbarunya, Warna Cinta Impian di Cyberjaya baru-baru ini.
Bagaimanapun ujar Shiqin, kerana masih baru, dia berhasrat untuk menjaga nilai eksklusifnya sebagai seorang pelakon dan lebih senang untuk fokus dalam bidang lakonan filem.
"Ketika masih menuntut, saya hanya akan terima tawaran ketika cuti semester saya. Memandangkan waktu penggambaran filem lebih pendek, jadi sebab itulah saya banyak terima tawaran filem.
"Tapi lama-lama saya rasa, saya lebih suka terbabit dengan produksi perfileman. Selain itu dapatlah saya memperbaiki mutu lakonan kerana menerusi pengalaman saya terlibat dengan penggambaran drama baru-baru ini, saya rasa tidak puas dengan lakonan saya.
"Bila tengok balik hasil, saya rasa mampu buat lebih baik daripada yang saya berikan," jelasnya.
Bukan mahu bersikap 'kekwat' atau demand dengan keputusannya, Shiqin berkata, dia juga tidak mahu penonton merasa bosan andai dia kerap muncul dalam drama televisyen.
"Bila saya meletakkan diri sebagai seorang penonton, ada kalanya saya rasa bosan bila pelakon sama yang muncul di kaca TV. Jadi saya mahu elakkan perkara sama berlaku pada karier saya.
"Biarlah muncul sekali sekala tapi orang ingat lakonan kita," ujarnya yang teruja membawakan watak utama dalam filem Warna Cinta Impian bersama pelakon Awie, Erra Fazira, Erwin Shah, Azlee Khairi dan Nellydia Senrose .
Lebih berhati-hati
Dalam pada itu, mencungkil sedikit sisi peribadi pemilik nama sebenar Nur Ashiqin Mohd Kamal ini, kongsi Shiqin pengalaman lalu menyebabkan dia kini lebih berhati-hati untuk bercinta.
Katanya, dia kini bukan seorang yang mudah jatuh cinta kerana tidak mahu peristiwa sama berulang kembali.
"Memandangkan saya masih muda, jadi fokus utama saya adalah kerjaya seni kerana saya serik untuk bercinta lagi.
"Tapi jodoh itu adalah sebahagian daripada perjalanan dalam hidup kita, jadi saya hanya ikut sahaja aturan yang telah ditentukan dalam hidup saya," katanya.