Sherry Alhadad tidak mahu ejekan di laman sosial akan jejaskan tahap keyakinan wanita berbadan besar lain.
Pengacara Melodi terbitan TV3 iaitu Sherry Alhadad kesal apabila segelintir penonton rancangan itu masih mempunyai sikap diskriminasi terhadap kekurangan fizikal seseorang artis khususnya individu berbadan besar berbanding bakat yang ditonjolkan.
Sherry,30, berkata, lemparan kata-kata hinaan di laman sosial bersifat negatif seperti itu akan membuatkan wanita-wanita berbadan besar lain menjadi kurang keyakinan untuk berada di khalayak.
"Ini bukan kali pertama perkara ia berlaku, cuma saya tidak mahu mereka menghina kami di laman sosial kerana ia memberi kesan kepada wanita berbadan besar lain menyebabkan mereka kurang keyakinan diri.
"Saya tidak patah semangat dengan ejekan seperti itu sebaliknya saya lebih bersemangat untuk menunjukkan bakat yang saya ada membantu saya untuk berada dalam industri ini," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.
Sherry (dari kiri), Awal dan Zulin Aziz ketika mengacarakan rancangan Melodi Ahad lalu.
Sherry berkata demikian ketika diminta mengulas beberapa komen di laman Instagram Melodi TV3
yang menghinanya kerana berbadan besar. Rancangan hiburan itu turut dikendalikan oleh Zulin Aziz dan Awal Ashaari.
Tambahnya dia tidak pernah berasa malu dengan keadaan fizikalnya sekarang, malah menganggap ia sebagai perkara yang membuatkan dia berbeza daripada pelakon dan pengacara lain.
"Saya selesa dengan keadaan saya sekarang selagi ia tidak menjejaskan kesihatan, kalau saya mahu kurus sekalipun ia kerana nasihat doktor atau kerana masalah kesihatan dan bukan kerana ingin nampak cantik atas desakan masyarakat.
"Pada saya cantik atau buruk itu sesuatu yang subjektif dan berbeza-beza di mata orang dan saya anggap apa yang saya ada ini satu kelebihan," katanya.
Komen-komen yang ditulis di laman Instagram MelodiTV3 selepas siaran langsung pada Ahad lalu.
Jelas Sherry, ramai lagi orang yang mempunyai bakat dalam pelbagai bidang di luar sana malu untuk tampil kerana takut dengan tanggapan masyarakat.
Katanya, persepsi dan diskriminasi masyarakat terhadap kekurangan sesorang individu seharusnya tidak lagi timbul pada zaman ini.
"Hidup ini indah kalau semua orang menilai orang lain bukan hanya pada luaran semata-mata. Ramai orang yang serba kekurangan tetapi mempunyai bakat besar tetapi malu untuk tampil kerana takut dihina masyarakat.
"Pada saya biarlah dia orang ingin cakap apa sekalipun, kerana suatu hari nanti mereka akan berhenti. Lihat sahaja artis-artis lain yang sudah ada nama seperti Adibah Noor dan Afdlin Shauki, mereka sudah berada pada tahap mereka sendiri," katanya.