SETIAP kejadian yang berlaku pasti ada hikmahnya!. Mungkin itulah frasa paling tepat bagi menggambarkan situasi yang dialami pelakon, pengarah dan juga komposer muda ini.
Menyelak kembali lipatan sejarah hidupnya, anak muda ini mengakui pernah terjebak dengan dadah dan pada masa sama, disahkan sebagai penghidap Bipolar Disorder tahap satu pada 2009.
Namun, demi melakukan satu transformasi yang besar dalam hidupnya, Isma Yusoof nekad tidak lagi ingin dikenali dengan nama glamornya itu sebaliknya lebih selesa menggunakan nama Azma Aizal Yusoof kini.
Malah, pemenang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Skrin 2010 itu kini hanya berfokus kepada karier seninya yang kembali bersinar.
Jika tidak, masakan drama dan telefilem lakonannya mahupun arahannya seperti Kerana Cintaku Saerah, Merah Puteh, Antara Garisan, Cita dan Cinta, Amarah Hawa, Hajar Aswad, Sindarela, Rona Roni Makaroni, Emil Emilda, Fatihah Untuk Abah, Mencari Nurfitri, Virus, Pelarian, Kashaf Imani, Raya Si Primadona dan yang terbaru, Kerana Terpaksa Aku Relakan sering mendapat rating tinggi di kaca televisyen (TV) sekali gus menerima pujian daripada orang ramai.
Ikuti temu bual Zass dengan pemilik nama sebenar Muhamad Ismaizal Yusoof ini.
Anda kini mahu dikenali dengan nama Azma Aizal Yusoof. Mengapa nekad untuk menukar nama?
Saya tidak mahu mengenangkan lagi pengalaman hitam yang terjebak dengan dadah. Biarlah ia berlalu, tetapi, saya belajar banyak perkara daripada kealpaan dan kesilapan itu.
Kini, saya sangat bersyukur kerana terus diberi peluang oleh Tuhan, keluarga dan masyarakat. Sebab itu, sekarang saya mengguna pakai nama Azma Aizal Yusoof dan mahu memulakan fasa baru dalam kehidupan.
Boleh ceritakan permulaan perjalanan anda sebagai pelakon?
Saya adalah pelajar filem animasi di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya. Ketika di universiti, saya aktif dalam kelab teater. Saya mula terjebak dalam bidang lakonan setelah pengarah, Nizam Zakaria memperkenalkan saya dengan Shahrulezad Mohameddin (Ezad) untuk drama RTM, Sutun 2. Sutun 2 adalah drama pertama lakonan saya.
Mungkin kerana Ezad nampak dan percaya bakat lakonan saya itu, Ezad kemudiannya selalu mencabar saya dengan pelbagai watak dalam dramanya yang lain seperti Sindarela, Kerana Cintaku Saerah, Emil Emilda, Rona Roni Makaroni, Antara Garisan dan banyak lagi. Malah, saya menerima Anugerah Skrin juga menerusi drama Antara Garisan.
Bagaimana pula dengan kerjaya pengarahan?
Saya seronok berlakon, tetapi ketika saya sibuk menjalani penggambaran drama Sindarela, Ezad memerlukan pertolongan saya untuk meneruskan saki baki penggambaran drama tersebut yang tertangguh. Jadi, saya pun membantu dia.
Ketika itu, niat saya adalah hanya untuk membantu dia tetapi tidak sangka pula itu ialah detik permulaan saya dalam bidang pengarahan. Ezad kemudiannya menawarkan saya mengarah drama bersiri pertama, Merah Puteh yang menampilkan barisan pelakon seperti Zahiril Adzim, Wan Elias dan Dira Abu Zahar. Sdjak itu, karier saya dalam bidang pengarahan mula berkembang sehingga kini.
Kini, anda dilihat lebih selesa berada di kerusi pengarahan. Tidak rindu berlakon?
Saya akui sangat rindukan berlakon. Saya benar-benar seronok berlakon dan berharap agar produser masih berminat untuk memberi saya peluang berlakon seperti sebelum ini.
Saya masih berminat dan mencintai dunia lakonan kerana saya bermula dari situ. Walaupun ada platform sebagai pengarah, tetapi saya tidak mahu berlakon dalam drama arahan sendiri kerana sukar memberikan sepenuh fokus kepada dua tanggungjawab serentak.
Rasa tidak seronok dan tidak puas buat dua kerja serentak. Ingin saya tegaskan, saya tidak akan berhenti berlakon. Bagi melepaskan perasaan rindu itu, saya banyak menghabiskan masa di lokasi sementelahan saya juga adalah pengarah.
Tahun ini, genaplah usia anda 32 tahun. Jadi, apakah cabaran bergelar pengarah muda?
Sebagai pengarah muda, saya harus menyesuaikan diri dengan situasi atau keadaan di mana saya berada. Ibarat masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.
Saya sendiri masuk ke pelbagai set penggambaran tidak kiralah sama ada Melayu, Cina atau India. Bergaul dengan mereka dan belajar ilmu pengarahan daripada mereka. Malah, jika di set penggambaran sendiri pun, saya akan meletakkan diri berada di bawah.
Bagi saya, semua orang adalah sama. Saya juga akan sedaya upaya menghafal semua nama krew produksi selain mencari ilmu di lokasi. Apa yang penting, saya mengamalkan sifat positif dan ikhlas dalam bekerja. Insya- ALLAH, pastinya semua akan baik-baik saja. Saya rasa faktor umur tidaklah menjadi persoalan utama.
Jika dilihat, karya arahan anda sentiasa mendapat rating tertinggi di kaca TV. Ada petua tertentu?
Setiap hasil karya saya, semuanya saya serahkan kepada Yang Maha Esa. Dia yang lebih berhak. Setiap ilham dan hidayah yang saya peroleh dalam karya saya datangnya dari ALLAH SWT.
Malah, setiap benda yang baik berlaku di set penggambaran, ALLAH SWT yang jadikannya. Selain itu, saya juga perlu jujur dalam setiap karya-karya saya.
Kejujuran itu penting dan bekerjalah dengan ikhlas hanya kerana ALLAH SWT. Lagi satu, saya tidak suka akan persekitaran yang negatif seperti bermasam muka, mengumpat, mengata atau mencela. Sekiranya ada masalah, kita sesama krew produksi duduk berbincang sebagai satu keluarga.
Tidak terfikir untuk mengarah filem?
Sekiranya saya tidak terlibat untuk mengarah drama, Kerana Terpaksa Aku Relakan, saya sepatutnya menerima tawaran mengarah filem. Bagaimanapun, bagi saya sendiri, saya tidak akan mengarah filem sekiranya masih belum berjumpa dengan satu jalan cerita yang jujur dan original yang boleh menceritakan budaya negara kita pada negara luar.
Saya selesa mengarah drama kerana saya boleh berdakwah dengan orang ramai. Malah, tujuan saya masuk dalam industri hanya kerana ALLAH SWT. Saya tidak kisah melalui medium apa-apa pun kerana apa yang penting adalah kandungan dan ruang dakwah itu sendiri.
Perkembangan terbaru anda?
Kini. saya muncul dengan karya terbaru. Hanya Satu yang menampilkan Syarif Sleeq, Kilafairy, Qhaud Rashid, Fezrul Khan, Wan Sharmila bersama bintang jemputan Altimet, Anzalna Nasir, RJ dan Raja Farah. Drama 25 episod yang berdurasi lima minit ini diterbitkan oleh Global Station Sdn Bhd dan bakal disiarkan mulai 15 September hingga 17 Oktober depan. Ini kali pertama saya buat drama untuk Tonton dan saya begitu teruja serta gembira kerana drama ini ditayangkan bersempena ulang tahun ke-4 Tonton. Saya seronok dapat bekerjasama dengan pelakon drama Hanya Satu kerana kesemuanya memberikan kerjasama yang baik untuk menjayakan drama ini.