Doktor dari Afrika Selatan pilihan Elaine Daly


ELAINE mengakui berasa teruja kerana bakal mengakhiri zaman bujang bersama jejaka pilihannya, Nick Boden.

NADA suara pengacara dan pelakon Elaine Daly, 37, kedengaran begitu teruja tatkala mengkhabarkan berita mengenai perkahwinannya yang akan berlangsung pada 4 Disember depan.

Menerusi perbualan telefon bersama Kosmo!, pelakon drama Astana Idaman meluahkan perasaan tidak sabar untuk menamatkan zaman bujang bersama jejaka pilihannya, Nick Boden, 38, yang bertugas sebagai doktor.






Menurut Elaine, walaupun tidak sampai setahun mengenali Nick, namun, dia mempunyai alasan tersendiri untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius dengan lelaki berasal yang berasal dari Afrika Selatan itu.

KOSMO!: Tahniah atas berita gembira ini Elaine! Bagaimanakah anda mengenali bakal suami anda?

ELAINE: Terima kasih. Saya mula mengenali Nick sekitar bulan Mac tahun ini. Pada waktu itu, teman rapat saya yang bersungguh-sungguh mengajak saya menghadiri sebuah majlis makan malam. Pada mulanya, saya agak kebera­tan namun, mungkin takdir mahu menemukan saya dengan Nick, jadi, saya pergi juga.

Apakah perasaan anda ketika mula-mula bertemu dengan Nick?

Selepas diperkenalkan, kami bertukar nombor telefon dan mula berbalas mesej. Saya akui mengambil masa untuk bersetuju apabila diajak keluar bersamanya. Namun menurut Nick, dia jatuh cinta pandang pertama ketika mula-mula berjumpa dengan saya (ketawa).

Apakah istimewanya Nick di mata anda?

Dia merupakan seorang yang sangat baik, pemurah, bercita-cita tinggi dan faham dengan kerjaya saya. Tambahan pula dia boleh berbahasa Melayu!


ELAINE bersama bakal suaminya, Nick Boden.

Adakah dia telah menetap lama di Malaysia?

Ya, sudah hampir 10 tahun dia menetap di Malaysia. Dia juga sudah mendapat kerakyatan tetap dua tahun lalu.

Tempoh perkenalan anda dengan Nick masih terlalu awal. Tidakkah keputusan mendirikan rumahtangga itu agak terlalu awal?

Saya percaya, jika kita ditakdirkan untuk menerima sesuatu, kita akan menerimanya dalam apa jua keadaan. Begitu juga dengan jodoh. Saya pentingkan perkara yang berkaitan dengan arah tuju masa depan. Lagipun, kami berdua mempunyai karier yang stabil, jadi lebih baik mempercepatkan perkara yang baik.

Adakah anda sudah merancang majlis perkahwinan anda?

Ya, semuanya telah dirancang. Kami akan mengadakan sebuah majlis kecil di sebuah restoran pada 4 Disember depan. Kemudian, sebuah majlis di Afrika Selatan turut dirancang bagi meraikan perkahwinan kami bersama ibu bapanya di sana.

Bilakah anda akan melangsungkan resepsi di Afrika?

Pada 17 Januari tahun depan. Ia sungguh istimewa kerana majlis itu akan diadakan pada hari kelahiran saya yang ke-38.


Previous Post Next Post