Faizul Sani Menyepi bukan menghilang



LAGUNYA yang berjudul Berontak pernah digunakan sebagai runut bunyi sebuah filem, namun, Faizul enggan memanjangkan perkara itu sebagai satu isu yang serius.

“BAGIKU satu masa untukku berkata, bagiku seribu masa untuk bicara.” Sama seperti lirik-lirik awal single pertamanya, Sepasang Sayap, kehilangan Faizul usai Akademi Fantasia 2013 berakhir mengundang tanda tanya.






Kurangnya publisiti dan pendedahan berbanding bekas peserta lain rancangan realiti itu, seperti mengiyakan bahawa nama Faizul semakin malap dan kian dilupakan.

Menjelaskan perkara itu, kata Faizul, 29, sepanjang tempoh sembilan bulan dia terpaksa mengorbankan setiap perancangan yang dirangka untuknya daripada segi promosi dan publisiti untuk memberikan sepenuh fokus menyiapkan album sulungnya yang diberi judul Faizul Sany.

“Bermula dari bulan Januari tahun ini, saya mula mengumpulkan bahan, menetapkan konsep dan menjalani proses rakaman untuk dimuatkan semua lagu dalam album pertama saya.

“Alhamdulillah, itu satu pengorbanan yang berbaloi kerana akhirnya album ini sudah siap untuk dipasarkan.

“Mungkin nampak seperti saya menyepi dan menghilang berbanding bekas peserta Akademi Fantasia 2013 lain, tetapi saya masih membuat persembahan tertentu dalam skala yang kecil. Ini adalah satu perjalanan yang amat mencabar,” ujarnya yang ditemui usai majlis pelancaran album pertamanya, Faizul Sany di Talent Lounge, Menara Bata, Selangor, baru-baru ini.

Urban pop

Album sulung yang menggunakan namanya sendiri sebagai judul itu memuatkan sebanyak sembilan buah lagu termasuk lagu hit Sepasang Sayap dan Merdeka yang kini sedang rancak diputarkan di stesen radio. Lagu lain yang turut dimuatkan dalam album itu termasuklah Stylo Mylo, Lullaby dan Surat Untuk Sahabat.

Uniknya album berkenaan, Faizul diberikan kebebasan untuk berkarya menghasilkan lagu dan menulis lirik dengan bimbingan daripada beberapa komposer terkenal seperti Faizal Tahir, Omar K, Amir Jahari dan Audi Mok.

“Setiap lagu ada makna tersendiri. Contohnya lagu Lullaby yang bercerita mengenai keperitan hati saya semasa putus cinta tahun lepas, setelah lebih tujuh tahun bersama.

“Lagu Perempuan pula merupakan lagu terakhir yang saya cipta sepenuhnya untuk album ini. Ketika menghasilkan lagu itu, barulah saya dapat mengenalpasti hala tuju dan konsep muzik saya,” tambahnya.

Jelas Faizul, muziknya lebih ke arah urban pop rock yang dipengaruhi elemen muzik eksotik dan etnik.

Kenang Mystery Call



Faizul menyanyikan enam buah lagu pada majlis pelancaran album sulungnya, Faizul Sany.

Dalam pada itu, Faizul berkongsi keinginan untuk merakamkan kembali tiga buah lagu yang pernah dihasilkan bersama kumpulannya terdahulu, Mystery Call.

Dianggotai oleh empat orang ahli, band yang ditubuhkan pada tahun 2008 itu pernah memenangi tempat kedua Hot FM Twisties Bingit 2009 dan telah mengikat kontrak bersama syarikat rakaman Rock Unite selama tiga tahun.

“Sepanjang bersama syarikat rakaman tersebut kami sempat merakamkan tiga buah lagu iaitu Pencinta Lelaki, Langkah Ke Hadapan dan Berontak.

“Bagaimanapun, lagu Berontak telah dijadikan runut bunyi untuk filem Langgar tanpa pengetahuan saya. Saya tidak kesal, tetapi terkilan kerana tidak dimaklumkan mengenai perkara itu. Selepas ini kami akan berbincang mengenai status lagu tersebut dan saya tidak bermaksud sama sekali mahu mengeruhkan keadaan, sebaliknya hanya mendengar pencerahan daripada pihak mereka,” jelasnya.

Duit kemenangan untuk keluarga

Tamat Akademi Fantasia 2013 dan ditabalkan sebagai juara musim tersebut, Faizul melihat satu perubahan total berlaku dalam diri dan persekitarannya. Mengakui keluarganya menentang keinginannya untuk menjadi penyanyi, namun akhirnya mereka mengalah kerana melihat kesungguhan yang ditunjukkan.

“Jika sebelum ini, hampir kebanyakan waktu saya diluangkan untuk membantu kedua-dua ibu bapa saya mengusahakan ladang di Tawau, Sabah, kini, rutin tersebut berubah. Harus saya akui, masa sama bersama keluarga begitu terhad, namun mereka semakin faham kerana inilah jalan yang saya pilih demi masa hadapan kami sekeluarga.

“Jika khalayak membayangkan saya hidup mewah selepas membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 sebagai juara, telahan itu salah sama sekali. Kehidupan saya masih biasa dan ironinya, saya hanya mengambil sebanyak RM6,000 manakala baki RM94,000 saya berikan kepada keluarga. Tahap kesihatan ibu bapa saya juga tidak begitu baik. Jadi, wang kemenangan itu disalurkan untuk membiayai kos rawatan mereka,” kongsi Faizul.




Faizal Tahir kesan bakat Faizul

Perjanjian sudah dibuat. Itulah yang ditetapkan oleh komposer dan Inspirer Akademi Fantasia 2013, Faizal Tahir yang mengesan bakat Faizul sejak tiga minggu pertama berada dalam rancangan tersebut.

Maka, tanpa berlengah, sama ada Faizul menang atau tidak, dia tetap akan mencipta lagu untuk penyanyi kelahiran Tawau, Sabah itu.

“Saya menyifatkan projek ini sebagai satu penghargaan untuk saya apabila dapat berkerjasama dengan Faizul. Bukan kerana saya pernah menjadi guru kepadanya, tetapi kerana dia ada bakat dan tahu apa yang dia mahukan.

“Dia mewakili generasi baharu yang mencipta lagu dengan mesej yang baik. Saya melihat ada cerita dan personaliti dalam setiap karya yang dihasilkannya,” kata Faizal Tahir yang mencipta dan menulis lirik lagu Merdeka yang dikhususkan sempena Hari Kemerdekaan ke-58 dalam album Faizul.

Selain itu, Faizal turut mencipta lagu Jatuh yang turut mendapat sentuhan daripada komposer dan penulis lirik Mike Chan.
Previous Post Next Post