MAMAN kekal dengan imej rock meskipun kini dia telah beralih ke arah lagu kerohanian.
MAMAN TEACHER'S PET atau nama sebenarnya Rosman Lamri satu nama yang cukup gah sekitar tahun 1990-an.
Bersama kumpulan Teacher’s Pet, Maman mencipta fenomena tersendiri. Lagu ciptaannya seperti Warisan Wanita Terakhir, Layar Lara dan Kasihku Pinjam Wajahmu meletakkan mereka di satu aras berbeza.
Meskipun popular tetapi disebabkan kejatuhan industri muzik Malaysia pada awal tahun 2000, Maman terpaksa angkat kaki dan kembali ke negara asalnya di Singapura.
Kini, selepas hampir 10 tahun aktif di Singapura, Maman kembali ke dunia muzik Malaysia tetapi dengan aliran muzik yang sedikit berbeza.
Jika dahulu dikenali dengan irama rock, kini dia ingin dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu kerohanian.
“Seiring dengan peredaran masa dan pertambahan usia, saya sedar bahawa saya tidak boleh lagi menyanyikan lagu-lagu berentak seperti dahulu.
“Ada perjuangan dan tanggungjawab sebagai orang Islam yang harus saya jalankan. Saya bersyukur kerana menjadi insan terpilih yang dikurniakan bakat oleh Allah SWT untuk berdakwah melalui bidang muzik,” katanya yang ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Sebelum ini, Maman pernah muncul dengan album kerohanian berjudul Hijrah pada tahun 2009. Disebabkan tidak merangka strategik yang tepat album itu tidak dapat diedarkan di Malaysia.
Tidak berputus asa, tahun lalu Maman muncul dengan album kerohanian kedua berjudul Dzikir Alam. Album itu, telah pun diedarkan di Singapura dan juga Malaysia.
“Menggunakan pengalaman yang lepas, album Dzikir Alam mempunyai strategi yang betul. Saya telah bekerjasama dengan Life Records Sdn. Bhd. yang dilantik sebagai pengedar album Dzikir Alam untuk pasaran Malaysia.
“Pihak Life Records telah mengatur promosi album ini untuk semua media. Menariknya, lagu daripada album Dzikir Alam boleh dibeli menerusi talian seperti di iTunes ataupun secara fizikal di kedai-kedai muzik,” ujar Maman.
Disoal mengapa baru sekarang Maman membuat kemunculan semula selepas sekian lama, jawabnya, tawaran dan waktu yang tepat menyebabkan dia yakin untuk kembali memberi sumbangan kepada industri muzik Malaysia.
“Saya memang tidak aktif di Malaysia tetapi saya masih aktif di Singapura. Muzik merupakan jiwa dan kerja saya. Ada beberapa buah lagu telah saya cipta. Bagaimanapun terasa sayang untuk memberikan lagu tersebut kepada penyanyi lain. Saya bimbang penyanyi lain tidak dapat menyanyikan lagu ciptaan saya dengan baik. Sebab itu saya lebih rela menunggu masa yang sesuai biarpun mengambil tempoh yang agak lama untuk kembali menyanyi,” tutur Maman yang juga bapa kepada Mohd. Raihan, 21.
Terangnya, tawaran daripada produksi Pesona Pictures yang ingin menggunakan lagu ciptaannya berjudul Keluhan Rasa sebagai lagu runut bunyi drama bersiri Selamat Pengantin Madu merupakan peluang keemasan untuknya.
“Alhamdulillah, peluang ini datang dengan pakej yang baik. Maksudnya, lagu Keluhan Rasa ini datang bersama visual daripada drama Selamat Pengantin Madu.
“Ini merupakan promosi yang baik untuk saya membuat kemunculan semula. Sudah ada permulaan yang baik. Harap percubaan kali ini menjadi,” luah Maman yang kini berusia 45 tahun.
Menyuluh jalan terang kepada kemunculan semula kali ini, Maman seperti mendapat bonus apabila ditawarkan menerbitkan sebuah album dengan orkestra RTM.
“Saya tidak sangka pihak orkestra RTM ingin menerbitkan dan bekerjasama dengan saya. Uniknya, album ini akan memuatkan lagu-lagu terbaik ciptaan saya sebelum ini. Proses rakaman bersama orkestra RTM telah pun dijalan pada bulan Disember tahun lalu, saya telah merakam separuh daripada album, sekitar enam buah lagu.
“Apabila album ini siap kelak, ia bukan sahaja hadiah terbaik untuk saya tetapi juga hadiah terbaik kepada peminat saya,” balas Maman mengakhiri bicara.