Pija atau nama sebenarnya Norafizah Mohd Yasin, 25, yang pernah menjuarai pertandingan Mentor musim pertama di TV3 sudah berkahwin sejak 21 Mac lalu memberitahu dirinya sudah hamil empat bulan.
Pija memilih ahli perniagaan berusia 35 tahun, Datu Anwar Datu Amir Kahar. Suaminya juga berasal dari Sabah sepertinya.
Majlis pernikahan dan resepsi diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada hari yang sama.
Pada 28 September lalu, satu majlis keraian diadakan di Hotel Istana, Kuala Lumpur meraikan teman dan saudara di sini.
"Kami kenal sudah empat tahun tetapi hubungan itu tenggelam timbul. Kami jumpa balik tahun lepas. Suami saya seorang yang cool, sporting dan kelakar. Dia semestinya sangat matang. Agak pendiam sikit kalau tak biasa dengan seseorang itu," katanya.
Biarpun namanya hampir dilupakan peminat seni, Pija masih aktif menerima undangan nyanyian. Kini beliau turut menganggotai kumpulan The Girls Republic yang diasaskan Awi Rafael. Kumpulan itu turut dianggotai Maisara dan Sarah Ann.
"Saya bertemu dengan Awi Rafael tahun lalu dan dari situ bermulanya kerjasama ini. Selepas bertemu Awi, saya dilihat sudah seperti aktif kembali di arus perdana," katanya yang berbulan madu di London April lalu.