DEK kerana kelantangannya dalam berkata-kata sehingga mengugut mahu membunuh media suatu ketika dulu, pelakon dan model, Ammar Alfian Aziz, 27, mengakui dia pernah digam oleh sesetengah pihak media, sejak empat tahun lalu.
Bukan itu sahaja, kerana pergaduhan tersebut, dia terpaksa mengambil keputusan untuk berundur seketika daripada industri seni.
“Alhamdulillah, hubungan saya dengan wartawan tersebut sudah pun pulih dan saya sudah pun berjumpa dengannya untuk memohon maaf. Saya akui, saya memerlukan wartawan untuk membantu saya di dalam industri ini.
“Saya juga sudah kembali aktif sejak tiga bulan lalu dan kini sedang menjalani penggambaran filem ‘Langit Cinta’ di samping Keith Foo dan Fazura. Selain itu, drama lakonan saya, ‘Bila Chacha Masuk Asrama’, sudah mula ditayangkan di TV3,” katanya yang ditemui media, baru-baru ini.
Ammar berkata, dia juga kembali aktif selepas mendapat restu sepenuhnya daripada ibunya yang turut meletakkan syarat.
"Ketika isu tersebut hangat diperkatakan, ibu saya memang tak mengizinkan saya untuk aktif, tapi selepas berjanji untuk lebih matang dan berubah, barulah dia benarkan.
"Malah dia letak syarat untuk saya jadi anak yang soleh, jadi pelakon yang bagus, jangan buat hal lagi dan menghormati orang lain," katanya yang turut mendapat kekuatan dari peminat yang memintanya untuk kembali aktif.
Mengakui segala yang berlaku berpunca daripada sikapnya yang tidak matang dan mengalami kejutan budaya, Ammar berkata, dia menerima andai masih ada pihak membenci dirinya.
"Saya akui dulu saya tak matang. Lebih-lebih lagi, keluarga jauh dari saya, jadi tidak ada siapa tegur atau halang bila saya buat silap. Tapi sekarang saya kembali tinggal bersama keluarga dan ibu serta bapa saya sering menasihati saya," katanya.
Tidak lokek untuk berkongsi kisah personalnya, Ammar berkata, dia kini sedang dalam proses mengenali hati budi dengan seorang model bernama Casandra Azman, 22.
Bagaimanapun jelas Ammar, dia belum merancang untuk mendirikan rumah tangga apatah lagi.
"Kami baru sahaja berkenalan kira-kira lima bulan lalu dan Casandra juga masih muda. Jadi saya mahu memberi peluang untuk dia mendapatkan pengalaman terlebih dahulu, jelasnya.