Cara Ungku Ismail



Meskipun sering menjayakan watak utama baik dalam drama mahupun telefilem, Ungku Ismail Azmi jarang mendapat publisiti media.

Entah di mana silapnya, kehadirannya dalam industri lakonan seakan kurang diberi perhatian. Sedangkan kalau diukur pada bakat, ramai memuji lakonannya dan ia turut diakui pihak produksi dan pengarah.

Saat perkara itu diajukan, pelakon, pengarah dan penulis skrip ini berkata, barangkali sikapnya yang tidak gemar ke depan andai tiada cerita menarik menjadi punca.

Akui graduan Kejuruteraan dari University of Strathclyde, Glasgow, Scotland, United Kingdom ini, dari dulu dia tidak mengejar publisiti.




"Saya tahu publisiti penting buat anak seni, tetapi saya tidak akan ke depan kalau tiada cerita. Mereka-reka cerita bagi meraih perhatian media atau peminat, itu bukan cara saya.

"Kenapa perlu lakukan perkara yang tiada atau bercakap benda tidak penting? Lebih molek bercakap hanya pada waktu sesuai. Maksud saya apabila ada sesuatu yang mahu atau perlu dikongsi," katanya.

Sebelum ini pun, katanya, ada rakan media cuba menghubungi untuk bertanya perkembangan terkini tetapi ketika itu dia tidak dapat menjawab panggilan kerana sibuk berlakon.

"Selepas itu mereka senyap saja, jadi saya pun diam. Kalau benar ada perkara penting, pasti mereka akan cari saya lagi. Kalau tidak mencari, maknanya perkara itu tidak penting.

"Ini pandangan dan cara saya. Mungkin artis lain berbeza pula cara mereka. Terpulang pada masing-masing," katanya.

Ungku Ismail kini terikat dengan penggambaran drama Teman Lelaki Upahan, adaptasi dari novel popular judul sama untuk slot Akasia di TV3.

Penggambaran projek 28 episod terbitan Primeworks Studios itu bermula sejak dua bulan lalu dan dijangka habis penghujung bulan ini.

Menerusi drama itu, Ungku Ismail memegang watak utama sebagai El, pemilik restoran The Spices yang diupah menjadi teman lelaki Kyra Lydia lakonan Elizad Sharifuddin.

Disebabkan satu insiden kecil yang berlaku di restoran itu, El terjebak dalam rancangan gila Kyra Lydia. Tanpa pengetahuan keluarga El, hubungan cinta palsu itu terjalin sehingga mereka bersetuju disatukan.

Watak Ungku Ismail sebagai lelaki periang, suka bergurau, tidak serius apabila melakukan sesuatu dan sinikal.

Katanya, watak itu sedikit berbeza dengan watak hero Akasia sebelum ini kerana El sukar menunjukkan sisi romantiknya.

"Dalam hubungan 'cinta bersyarat' ini, ada banyak babak kelakar antara El serta Kyra Lydia dan saya yakin penonton akan suka. Lagipun, ia adaptasi novel laris karya Azura Rasiddin, jadi ada ramai pengikut.

"Saya difahamkan, drama ini akan bersiaran penghujung Januari 2015. Jalan ceritanya masih kekal sama seperti novel, cuma ada sedikit perubahan gaya bahasa, plot dan permainan watak.

"Kita tidak boleh ikut 100 peratus novel kerana apabila dizahirkan dalam bentuk visual, ada bahagian yang perlu didramatikkan dan ada juga mesti disesuaikan mengikut keadaan penyampaian," katanya.

Ungku Ismail juga menjadi teraju utama drama adapatasi novel Terlanjur Mencintaimu, karya Shamnuriezmil yang bakal bersiaran di RTM. Dia berganding dengan pelakon cantik, Reen Rahim.

Katanya, dia memilih orangnya dan bersetuju berlakon Terlanjut Mencintaimu kerana dua sebab iaitu atas dasar mencari rezeki dan kawan.

"Sebelum menerima sesuatu tawaran, saya akan tengok jalan cerita dan siapa pengarahnya. Kalau jalan cerita dan watak ditawarkan klise, saya akan pertimbangkan betul-betul.

"Namun dalam masa sama, saya tidak boleh abaikan faktor cari makan. Sebagai contoh, Teman Lelaki Upahan dan Terlanjur Mencintaimu, saya terima kerana faktor cari makan dan mereka yang terbabit dalam projek ini adalah kawan saya.

"Ada juga beberapa tawaran saya tolak sebelum ini kerana jalan ceritanya klise," katanya.

Sementara itu drama Apabila Kau Tersenyum untuk slot Tribute P Ramlee, bersiaran di RTM hari ini.


Previous Post Next Post