Beberapa jam selepas beliau selamat melahirkan anak perempuan di sebuah hospital swasta di ibu negara, orang ramai mula bercerita tentang betapa comelnya anak sulung pasangan Rozita Che Wan dan Zain Saidin ini tidak kurang juga memuji penampilan aktress itu.
Beberapa gambar yang tersebar sejak Sabtu lalu menunjukkan Rozita Che Wan yang kekal cantik walaupun baru sahaja bersalin dan ini menimbulkan kekaguman orang ramai akan kemampuan beliau untuk kekal dalam imej walaupun dalam keadaan begitu.
Bercakap kepada Media Hiburan, beliau mengakui mengenakan solekan & bersiap ketika bersalin dan menganggap perkara itu biasa kerana pernah melakukannya sebelum ini.
“Memang saya bersolek dan bersiap. Bukan sebab nak masuk TV, tapi ketika melahirkan dua anak sebelum ini pun saya buat perkara sama. Malah, kalau ke mana-mana sekali pun, saya pasti akan bersiap,” ujar Che Ta ketika ditemu bual Media Hiburan Online.
“Saya memang nak bersalin normal. Malah doktor sendiri pun sarankan perkara sama sebab dua anak saya sebelum ini pun dilahirkan secara normal. Jadi tidak ada masalah untuk lakukan itu”
“Lahir sahaja anak dan ketika melihat wajahnya, saya rasa bersyukur dan gembira. Impian untuk memiliki anak perempuan dimakbulkan,” ujarnya meluahkan rasa gembira.