Amyra Rosli rehat panjang


Nur Amira Izzati atau lebih dikenali sebagai Amyra Rosli.

UNTUK penutup lembaran tahun ini, drama popular dari adaptasi novel Suamiku Encik Sotong, adalah lakonan terakhir pelakon comel, Amyra Rosli.

Walaupun popularitinya semakin meningkat naik, namun akui pemilik nama sebenar, Nur Amira Izzati Rosli, 23, ini dia memerlukan ruang untuk berehat buat seketika.




"Saya bukan jenis yang suka ambil banyak 'job' dalam satu masa. Cukuplah untuk siapkan satu-satu dahulu. Lagipun, ibu saya yang bertanggungjawab dalam menguruskan jadual saya.

"Saya amat selesa bila jadual diuruskan ibu kerana dia lebih tahu siapa saya dan mempunyai perancangan waktu yang lebih baik untuk saya.

"Dia akan memastikan saya tidak terlalu penat dan ada masa untuk diri sendiri. Setakat ini, jadual saya diuruskan dengan baik," katanya yang juga pernah menjayakan drama, Jodoh, Cinta dan Wahyu serta Supermax.

Tambah Amyra, waktu yang terluang akan digunakan sebaiknya untuk bercuti dan menghabiskan masa yang ada bersama keluarga dan rakan-rakan.

"Bila waktu bekerja, saya memang fokus untuk satu-satu kerja sahaja. Jadi, masa yang ada inilah saya akan berehat sepenuhnya. Untuk tahun depan, saya belum fikir lagi sebenarnya. Kalau ada tawaran, ibu saya yang akan tentukan," jelasnya lagi.


Previous Post Next Post