Elaine Daly (kanan) dan Nick Borden.
Mengenali Elaine Daly secara peribadi beliau sebenarnya seperti wanita lain juga mengharapkan kebahagiaan bertandang. Pernah dulu ketika diajukan soal cinta kepadanya, beliau seakan mengelak untuk berbicara lanjut.
Adat dalam kehidupan, benda yang diharap tak selalunya menjadi kenyataan. Pernah melalui episod duka dalam cinta, pengacara program bual bicara Bella di ntv7 itu kini sedang mengecapi keindahan yang diharap akan terus berpanjangan sampai bila-bila.
Esok petang, Elaine akan disatukan dengan cinta hatinya bernama Nick Borden. Doktor berasal dari Afrika Selatan yang sudah sedekad menetap di Malaysia dan sudah mendapat taraf penduduk tetap itu juga seorang duda serta mempunyai seorang anak.
Majlis akan diadakan di sebuah restoran di Kampung Pandan. Elaine berkenalan dengan Borden Mac lalu melalui seorang kawan dan mereka bertunang Julai lalu. Seperti sebuah hikayat cinta dalam drama, kisah cinta Elaine kali ini juga cukup romantis dan terjadi begitu pantas.
Beliau dilamar ketika bercuti di Pulau Maldives. Di celah kesibukannya menjelang majlis esok, Elaine sudi ditemubual BH Online. Ternyata suaranya di hujung talian membuktikan betapa bahagia hidupnya kini.
"Hingga saat ini saya bagaikan tidak percaya semua ini menjadi kenyataan. Macam setiap tahun ada kawan yang berseloroh saya akan kahwin tahun depan. Tak sangka usikan itu akan terjadi esok petang. Akhirnya saya berjumpa dengan belahan jiwa
"Mimpi saya jadi nyata saat bertemunya. Dialah permata hidup saya yang cukup indah," katanya Pelakon Wanita Terbaik Televisyen (TV) Anugerah Sri Angkasa 2010 melalui drama Sybil: Apa Dosa Ku itu
Menurut Elaine lagi, majlis esok turut akan dihadiri teman rapat termasuk di kalangan industri seni. Kata Elaine, dianggarkan majlis berkonsepkan dalam taman itu akan dihadiri sekitar 250 tetamu.
"Harap tak hujan esok kerana acara diadakan di luar. Saya akan mengenakan pakaian rekaan Khoon Hooi dan Melinda Looi. Selesai majlis esok, kami turut akan mengadakan majlis hari Sabtu ini di sebuah lokasi rahsia dan saya akan mengenakan rekaan Alia Bastaman serta Sonny San.
"Di jangka juga pada Januari depan akan ada keraian di Johannesburg, Afrika Selatan bagi pihak keluarga bakal suami saya. Selepas itu kami merancang untuk berbulan madu di Zimbabwe," katanya.