PELAKON terkenal, Aaron Aziz berharap aksinya memegang coli dalam filem Suamiku Encik Perfect 10, tidak menimbulkan spekulasi atau disalah tafsir.
Menjelaskan dengan lebih lanjut, Aaron berkata, apa yang dilakukan hanyalah sekadar mengikuti tuntutan skrip.
"Tindakan saya itu sekadar memenuhi tuntutan skrip dan plot filem berkenaan. Lagipun itu hanya ‘props’ saja. Saya rasa ia tidaklah teruk dan babak itu pun tidaklah nampak lucah.
"Apa yang penting, saya bukan suka-suka nak pegang tetapi itu cara kita nak sampaikan babak itu yang berkait tentang hal kehamilan dan ada fakta yang mahu disampaikan.
“Bagi saya sendiri, fakta itu sesuatu yang baru bagi saya sebab walaupun isteri saya sudah tiga kali hamil tetapi saya pun tidak pernah tahu tentang fakta itu,” katanya ketika ditemui pada sesi prebiu filem berkenaan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Berkongsi pengalaman sewaktu penggambaran, Aaron menyatakan tidak sukar untuk menghidupkan watak itu kerana karakternya tidak banyak beza dengan watak dalam filem dan drama percintaan yang pernah dilakonkan sebelum ini.
Malah, Aaron juga mengakui dia serasi berlakon bersama Lisa kerana pernah membintangi filem Ombak Rindu.
“Karakter saya tak banyak beza dengan karakter yang pernah saya bawakan sebelum ini. Zarief seorang yang periang dan dia akan buat apa yang dia mahukan dan selepas itu baru memikirkan akibatnya.
“Saya berharap gandingan kami boleh memberi satu kelainan dan kami tiada masalah mewujudkan keserasian atas faktor masing-masing komited dengan karakter yang dibawa,” katanya.