DRAMA 'Bila Hati Berbicara' ternyata memberi impak tersendiri buat pelakon utamanya, Atikah Suhaime.
Masakan tidak, jika sebelum ini menyebut nama Atikah Suhaime, pasti ada tertanya-tanya siapakah gerangan nama tersebut.
Namun kini jika menyebut nama Tania Katsura, pasti ingatan akan terarah kepada pemilik nama sebenar Nurul Atikah Mohd Suhaime ini.
Mengakui begitu bersyukur kerana lakonannya dalam drama tersebut mendapat maklum balas positif sehingga ramai yang mula mengenalinya, Atikah berkata, ia bukan alasan buatnya untuk berasa selesa.
"Alhamdulillah saya bersyukur kerana diterima baik oleh peminat dunia hiburan tempatan. Dalam masa yang sama, saya terkejut orang boleh terima pelakon baru macam saya.
"Malah pengikut saya di laman sosial semakin meningkat sepanjang drama ‘Bila Hati Berbicara’ ditayangkan. Sebelum ini cuma ada 50,000 pengikut, tapi kini sudah mencecah sehingga 100 ribu pengikut di Instagram,” ujar pelakon yang berasal dari Singapura ini.
Biarpun ramai yang menerimanya, Atikah, 23, tidak lari daripada menerima kritikan daripada penonton drama berkenaan.
"Bagi saya setiap artis akan melalui fasa, di mana dia akan dikritik dan menerima komen negatif. Bagi saya, kritikan dan komen negatif saya anggap sebagai teguran membina untuk kerjaya saya.
"Sejujurnya saya merasakan lakonan saya semakin baik berbanding dulu, malah kini saya rasa lebih yakin beraksi depan kamera," katanya.
Tidak menjadikan alasan semakin dikenali untuk bersikap demand, Atikah berkata, dia tidak akan terlalu memilih tawaran yang akan datang.
“Ibu saya kata jangan terlalu memilih dan menolak tawaran yang datang. Tak baik jika kita tolak rezeki Allah. Tapi jika diberi pilihan, saya teringin bawa watak fantasi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Atikah berkata, dia akan terlibat dengan penggambaran untuk slot Samarinda tidak lama lagi, di mana Along Kamarudin akan bertindak sebagai pengarah.