Demi Villa Nabila, Pekin, Tisha gagahkan diri



Pekin Ibrahim dan Tisha Shamsir

BARU atau lama itu bukanlah lagi kayu pengukur buat seseorang anak seni mengukuhkan tapak kerjaya mereka dalam industri hiburan.

Sudah pastinya, bakat adalah jaminan utama untuk mereka terus bertapak walaupun persaingan semakin sengit.

Aktor Pekin Ibrahim nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi apatah lagi, sejak akhir-akhir ini kerjaya lakonannya semakin menghampiri kemuncak.

Mana tidaknya, pelakon kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini memberitahu dia muncul dalam sembilan buah filem bermula hujung tahun lalu sehingga tahun 2015.

Antara filem tersebut termasuklah Juvana, Rumah Pusaka Di Simpang Jalan, Rentas, Keindahan Hidup, Ophilia dan Villa Nabila.




“Sebenarnya agak sukar untuk saya katakan mengenai perjalanan karier lakonan saya.

“Semuanya terancang sejak lima tahun lalu di mana saya telah meletakkan target dan susun kerja untuk sampai ke tahap ini. Memang memakan masa agak panjang tapi Alhamdulillah, apa yang saya mahukan sudah mulai tercapai.

“Penglibatan saya bukan sekadar suka-suka atau memandang wang semata-mata, tapi saya ada misi dan mahu menyumbang sesuatu yang boleh membawa kepada perubahan positif terhadap industri.

“Sebagai pelakon juga, saya mahu karya-karya saya dilihat dalam keadaan yang bermutu dan kalau boleh ia dapat membanggakan industri tempatan sendiri,” kongsinya.

Berbeza pula dengan pendatang baharu, Tisha Shamsir yang tidak pernah kenal erti putus asa untuk mengejar impiannya.

Biarpun percubaannya dalam menyertai dua kali program realiti nyanyian menerusi Audition dan Mentor tidak menyebelahi nasibnya, Tisha kini beralih menjadikan lakonan sebagai bidang kerjayanya dalam dunia seni.

“Kalau ada yang masih mengingati, memang saya bermula dengan karier nyanyian. Selepas menyertai program realiti itu saya masih cuba untuk meneruskannya namun nasib kurang menyebelahi saya.

“Tapi tidak sangka pula rezeki bidang lakonan hadir secara tiba-tiba. Bermula tahun lalu saya ditawarkan oleh Datuk Yusof Haslam untuk terlibat sama dalam drama bersiri Gerak Khas.

“Di situlah segala-galanya bermula dan hari ini saya akui mulai jatuh cinta dengan bidang ini namun itu juga tidak bermakna saya akan terus meninggalkan karier nyanyian.
“2014 adalah permulaan buat saya terokai bidang lakonan dan pada masa yang sama saya harapkan 2015 saya akan sibuk dengan tawaran lain,” katanya.

Biarpun kisah Villa Nabila yang terletak di Johor Baru bukanlah cerita baru, namun kisah mistik yang menyelubungi rumah usang itu sehingga hari ini masih belum ada pengakhirannya.

Pelbagai spekulasi dan kejadian yang pernah berlaku namun kisah di sebalik itu masih lagi samar.

Filem Villa Nabila arahan Syafiq Yusof ini, merungkai kisah benar mengenai dua kontraktor yang terlibat dalam projek merobohkan rumah itu iaitu Asyraf dan Amar.

Bila sebut sahaja mengenai filem seram, pastinya terselit kisah-kisah aneh dan misteri yang dilalui oleh mereka yang terlibat dalam penggambaran.

Berkongsi pengalaman sepanjang menjalani penggambaran filem lakonan semula itu, Pekin yang membawa watak utama sebagai Asyraf akui lakonannya kali ini agak mencabar dirinya memandangkan penggambaran dijalankan di lokasi sebenar.

"Untuk melakonkan watak yang benar-benar wujud ini bukanlah sesuatu yang mudah dan sebagai persediaan, saya sendiri telah bertemu Asyraf untuk mengenalinya dirinya dan peristiwa mistik yang menimpa dirinya.

"Mengenai pengalaman di lokasi, sejak hari pertama menjalankan penggambaran kami telah diuji dengan peristiwa yang agak mengerikan di mana ada seorang penunggang motosikal yang berhenti di tepi jalan untuk melihat kami tiba-tiba dilanggar sebuah kereta dan meninggal di tempat kejadian.

“Bayangkan, ia memang berlaku di depan mata saya dan krew lain. Sejak itu saya sudah rasa sesuatu yang tidak menyenangkan walaupun sepanjang penggambaran, kami akan dipantau oleh seorang ustaz.

“Memang kali ini betul-betul mencabar dan sebagai pelakon, saya perlu lawan perasaan itu untuk beri yang terbaik dan apa yang berlaku saya jadikan sebagai pengalaman yang berharga,” katanya.

Pada masa yang sama, Tisha yang membawa watak Huda isteri kepada Asyraf turut berkongsi perasaan yang sama.

“Bukan saya sahaja, tapi setiap pelakon dan krew lain masing-masing ada cerita mereka sendiri sepanjang kami berada di vila itu.

“Paling seram bila saya sendiri nampak sesuatu seperti kepulan asap dan selepas itu secara tiba-tiba muntah dan saya sendiri tidak tahu apa yang berlaku.

“Walaupun agak takut, atas bantuan pelakon dan pengarah saya teruskan juga tugas saya sehingga semuanya selesai,” ujarnya filem lakonan semula ini akan mula ditayangkan di pawagam bermula 15 Januari ini.

Trailer: Villa Nabila


Hikmah kontroversi

Beralih pada perkembangan kariernya, pelakon filem Ophilia tidak menafikan sebagai anak seni dirinya tidak terlepas terpalit daripada kisah kontroversi yang kini banyak mengajar dirinya tentang erti kehidupan.

“Bagi saya ia perkara biasa yang turut dilalui semua manusia. Saya juga ada kehendak dan sebelum ini Tuhan beri keizinan untuk saya dapatkan kehendak itu.

“Tapi pada masa yang sama saya sendiri tidak terfikir sama ada saya mampu untuk menggalas keizinan itu atau tidak. Ada yang berjaya tercapai dan ada juga yang gagal.

“Semua yang berlaku ada hikmahnya dan saya reda. Kisah kontroversi lalu saya jadikan sebagai pengajaran dan memandangnya sebagai perkara yang positif,” jelasnya.

Apabila diusik dengan persoalan mengenai perkahwinan, pelakon berusia 33 tahun ini akui tidak mahu ambil masa yang lama untuk menamatkan zaman bujangnya.

“Saya sebagai seorang lelaki sudah pasti ada kemahuan untuk mendirikan rumah tangga.

“Kalau sudah bertemu dengan pilihan yang sesuai saya mahu terus berkahwin tanpa bercinta lama-lama,” dedahnya yang bakal bekerjasama dengan sebuah produksi filem dari Jerman dalam filem Ahmad School pertengahan tahun ini.

Tisha minat Pekin

Tidak pernah terfikir bergelar seorang pelakon, apatah lagi bergandingan dengan pelakon kesukaan, Tisha nekad untuk beri yang terbaik terhadap peluang yang diberikan kepadanya.

“Sebelum terlibat dalam dunia seni Pekin adalah antara hero tempatan yang saya minati. Tak sangka pula sekarang saya dapat berlakon bersamanya.

“Secara jujurnya, pada awal penggambaran saya agak kekok dan malu tapi sifat Pekin yang sentiasa memberi sokongan membuatkan saya selesa untuk bekerja dengannya,” katanya.

Tambah Tisha, lakonan menerusi Villa Nabila ini telah membuka ruang untuknya terus mendalami bidang ini.

“Masa mula-mula ditawarkan untuk projek telefilem tapi tidak akhirnya ia bertukar kepada filem. Saya rasa ini adalah peluang keemasan buat saya untuk bertapak dalam bidang lakonan,” ujarnya.



Previous Post Next Post