DALAM mewujudkan sektor kreatif yang dinamik, kerajaan memperkenalkan Dasar Industri Kreatif Negara bagi merangsang pembangunan kandungan tempatan sekali gus mampu menyumbang kepada pendapatan negara.
Oleh itu, sebagai pengerusi seni persembahan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) memperoleh dana sejumlah RM17 juta untuk membolehkan penggiat seni mendapat manfaat melalui Program Pemangkin Jangka Pendek Seni Persembahan bagi 2012 hingga 2014.
Untuk tempoh itu, sebanyak 24 projek teras baharu dengan 240 aktiviti berjaya dilaksanakan dengan gandingan pintar di antara pihak kerajaan, industri mahupun swasta.
Salah satunya adalah album kedua pemain gambus wanita pertama di negara ini, Fauziah Suhaili, 26, atau cukup dikenali dengan jolokan Fauziah Gambus iaitu Hanya Satu: Fauziah Suhaili Puteri Gambus.
Album tersebut diterbitkan bersama Fauziah Gambus Enterprise dengan kerjasama Warner Music (M) Sdn Bhd, mendapat peruntukan RM120,000 daripada kerajaan.
Selain album itu, dua album lain yang turut dihasilkan ialah Bingkisan Aidilfitri dan Dennis Lau - A Malaysian Journey.
Bagi mengulas lanjut, Zass berjaya mendapatkan Puteri Gambus Malaysia ini menerusi satu sidang media yang disusun, baru-baru ini.
Artis Meletop: Tahniah di atas pelancaran album kedua anda. Boleh ceritakan sedikit mengenai album Hanya Satu: Fauziah Suhaili Puteri Gambus?
Terima Kasih. Alhamdulillah, dengan izin ALLAH SWT, album ini berjaya dihasilkan dengan jayanya. Kelahiran album Hanya Satu: Fauziah Suhaili Puteri Gambus ini merupakan satu interpretasi seni saya terhadap irama bunyian alat muzik 'Oud' atau lebih sinonim dengan panggilan Gambus di kalangan masyarakat Malaysia.
Di kala lambakan irama muzik moden memenuhi halwa telinga peminat seni tanah air masa kini, saya mengambil langkah menongkah arus memperjuangkan irama muzik bunyian gambus yang menjadi identiti masyarakat Melayu Brunei Bongawan, Sabah iaitu tempat kelahiran saya.
Saya juga telah menggunakan pelbagai jenis gambus yang berlainan jenis mengikut kesesuaian lagu iaitu Gambus Sabah, Gambus Johor, Gambus Turki, Gambus Turki, Gambus Mesir, Gambus Iraq, Gambus Elektrik (silent oud) dan Godin Multioud (gambus moden buatan Kanada).
Sinar Harian: Kelainan yang cuba ditampilkan dalam album ini berbanding dengan album pertama, Fauziah Gambus?
Sebelum ini, saya pernah muncul dalam album pertama, Fauziah Gambus pada 2007 yang mengandungi sembilan lagu. Malangnya, album itu hanya dipasarkan di kepulauan Borneo dan cuma berjaya memasuki pasaran negara Brunei.
Untuk album kedua ini, saya terpaksa menukar aliran muziknya kepada lagu-lagu moden agar ia bersesuaian dengan pasaran muzik ketika ini.
Saya akur dengan kehendak pendengar yang mahu gambus dimodenkan, saya mengubah konsep muzik kepada kontemporari. Bagaimanapun, identiti saya yang sinonim dengan gambus masih dikekalkan.
Saya sedar masyarakat terutama golongan muda sukar untuk menerima muzik tradisional dan disebabkan itu saya ambil keputusan mencipta lagu pelbagai rentak yang lebih moden dan bersesuaian dengan aliran muzik kini.
Justeru, saya selitkan elemen muzik gambus dalam setiap lagu tersebut supaya ia dapat diterima sebagai sebahagian alat muzik yang biasa digunakan.
Mungkin ramai tidak tahu gambus bukan hanya sesuai untuk ghazal, tetapi boleh ‘masuk’ dengan pelbagai jenis muzik.
Dalam album ini terdapat 11 lagu yang ditampilkan, antaranya ialah Kau Curangi Aku, Zapin Seloka Kasih, Gilakan kamu, The Minute You're Gone, Flying Bird, Ceria Di Hari Raya dan Pemergian Ayah Ibu.
Sinar Harian:Biasanya, gambus ini dimainkan secara tradisional. Jadi apabila anda menukar kepada muzik moden, anda tidak risau dengan penerimaan masyarakat?
Selama lima tahun, saya hanya memainkannya dalam irama tradisional, tetapi maklum balas daripada peminat yang rata-ratanya mahukan kelainan. Itu yang menyebabkan saya mengambil langkah mencuba aliran muzik berbeza.
Saya perlu mengikuti cita rasa pendengar dan peminat muzik sekarang, ikut resmi ikan di laut, biar air itu masin isinya tetap tidak berubah.
Justeru, saya ciptakan lagu kontemporari yang disulami petikan gambus ini sekadar mengikut kehendak pendengar dan peminat yang sentiasa mahukan kelainan daripada saya.
Sinar Harian: Bagaimanakah boleh terjalinnya kerjasama anda dengan JKKN?
Pada asalnya, saya berpeluang memperluaskan bakat bermain gambus apabila diketengahkan oleh JKKN sejak 2005. Pihak JKKN juga yang mencadangkan agar saya menyambung pelajaran Diploma Seni Muzik modul persembahan di Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara) selain kerap menjemput saya untuk mengadakan persembahan sesuai dengan peranannya dalam mengetengahkan lagu-lagu tradisional.
Kini, JKKN mungkin mahu melakukan satu pembaharuan sekali gus menarik minat masyarakat terutamanya golongan muda agar warisan budaya itu terus dipelihara.
Alhamdulillah, saya berjaya bergelar seorang pemain gambus wanita yang bukan saja memainkan lagu tradisional tetapi juga lagu moden sambil menyanyi.
Sinar Harian: Sebagai seorang yang memperjuangkan muzik tradisional, bagaimana anda melihat nasib muzik itu sendiri?
Setiap individu ada minat tersendiri dalam muzik. Walaupun ada suara sinis yang memandang sebelah mata perjuangan saya dalam memartabatkan muzik gambus, saya ada pandangan tersendiri.
Muzik gambus merupakan tradisi turun temurun masyarakat Melayu Brunei di kampung saya, maka saya terpanggil untuk meneruskan perjuangan datuk dan nenek moyang saya.
Saya akan tetap memperjuangkan alat muzik gambus biarpun mempelajari pelbagai alat muzik lain seperti gitar, biola, dram dan piano.
Malah, saya juga ada 19 gambus yang dibeli di pelbagai negara. Saya lebih mengutamakan gambus kerana keunikannya dan setiap gambus ini mempunyai pelbagai cara penggunaannya, ia tidak sama seperti gitar.
Sinar Harian: Menyelak kembali, bagaimana anda boleh ketagih bermain alat muzik dari negara Timur Tengah ini?
Saya sering ‘mengintai’ gelagat datuk memetik gambus ketika kecil dan sejak itu, minat terhadap alat muzik bertali itu mula bercambah di hati. Ketika itu, saya dilarang bermain gambus kerana ia hanya dibenarkan untuk budak lelaki.
Saya terpaksa bermain secara curi-curi di belakang rumah sewaktu datuk tidur, Bagaimanapun, saya mahu membuktikan minat ini bukanlah sekadar suka-suka, saya akhirnya nekad menyertai pertandingan Pesta Gambus pada 2003 di Sabah.
Paling tidak dapat dilupakan, saya terpaksa menyamar sebagai lelaki untuk menyertai pertandingan itu. Usaha saya berbaloi apabila dinobatkan sebagai juara.
Sejak itu, datuk mula menyedari kesungguhan saya dan mencurahkan segala ilmu yang dimilikinya, Malah, pada masa sama, dia mulai yakin dengan kebolehan saya serta berbangga dengan apa yang saya lakukan itu.
Sinar Harian: Harapan anda dan hasrat yang masih lagi terpendam kini?
Saya berharap album ini mendapat sokongan harmoni daripada masyarakat Malaysia selain mendoakan agar semua generasi dapat menerimanya apatah lagi apabila ia hadir dengan pelbagai konsep menarik.
Diharapkan dengan pelbagai genre ini, penerimaan masyarakat terutama golongan muda turut memberangsangkan.
Selain itu, saya punya cita-cita menubuhkan sebuah kedai yang mana di dalamnya terjual instrumen tradisional terutamanya gambus