Gema dalam Muzik hangatkan #AJL29


AG dan Scha Alyahya

Tahun ini Anugerah Juara Lagu (AJL) 29 memilih tema "Gema dalam Muzik" di mana pentas unggul itu kembali kepada elemen asas dan intipati sesebuah muzik.

Malah malam itu juga bakal mengangkat instrumen muzik sebagai dasar terpenting di dalam penghasilan bunyi.

Gabungan bunyi yang terhasil inilah yang dinamakan gema yang bakal memeriahkan AJL29.




Dihoskan oleh AG dan Scha Alyahya, AJL 29 akan dipancarkan oleh PAMOGA dan Qu Puteh Ahad ini, 18 Januari 2015 secara langsung pada jam 9 malam dari Stadium Putra Bukit Jalil dan TV3.

"Setiap tahun rakyat Malaysia pastinya teruja menantikan Anugerah Juara Lagu kerana anugerah ini bakal menobatkan karya muzik terbaik sebagai Juara Lagu selain persembahan mantap daripada para finalis AJL29.

" TV3 berbesar hati untuk meneruskan tanggungjawab kami dalam pencarian lagu terbaik dan membawakan kandungan menarik melalui produksi tempatan yang bertaraf antarabangsa. Ini juga salah satu tawaran kami untuk membuka tirai tahun 2015," kata Pengurus Besar Kumpulan, TV3 & TV9, Sherina Nordin.

Tahun lalu rancangan ini ditonton lebih 4 juta rakyat Malaysia selain menjadi trending nombor satu di dalam negara dan seluruh dunia menerusi platform sosial.

Penerimaan positif terhadap AJL membuktikan ia bukan sekadar rancangan digemari malah menjadi sebahagian daripada agenda negara kerana rata-rata rakyat Malaysia dan pencinta muzik bakal tertunggu-tunggu melihat lagu manakah yang akan dinobatkan sebagai Juara Lagu.

Anugerah Juara Lagu 29 bakal dipancarkan oleh Pamoga dan Qu Puteh sebagai penaja utama dan Nu Sentral selaku penaja bersama.

"Kami amat berterima kasih kepada Pamoga dan Qu Puteh selaku penaja utama kami dan Nu Sentral sebagai penaja bersama kerana sudi menjayakan Anugerah Juara Lagu pada tahun ini.

"Sokongan mereka bakal memeriahkan lagi anugerah yang memberikan pengiktirafan kepada karya muzik terbaik tanah air. Semoga kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang," kata Sherina.

Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hajah Hasmiza Othman yang terkenal dengan tagline 'Qu Puteh, Barulah Putih' turut gembira menjadi sebahagian daripada acara berprestij anjuran TV3 ini.

"Saya amat berbesar hati kerana pada tahun ini, Pamoga Qu Puteh dapat bersama-sama dengan 12 finalis yang hebat-hebat belaka di pentas AJL 29 ini.

"Saya juga sangat bersyukur kerana Pamoga Qu Puteh diberi peluang keemasan untuk menyokong industri muzik Malaysia untuk lebih maju dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

"Satu kebanggaan kepada industri muzik tanah air kita kerana memiliki penulis lirik dan komposer lagu yang terbaik. Seperti mana yang kita tahu, ini adalah acara yang ditunggu-tunggu setiap tahun, ada satu kelainan yang hanya terletak dalam juara lagu, dengan temanya yang sentiasa berbeza-beza setiap tahun.

"Seperti mana kelainan dalam juara lagu yang berprestij ini, begitu juga dengan Pamoga Qu puteh, yang sentiasa memberi kelainan kepada pengguna daripada segi bidang pengiklanan dan juga bidang pemasaran," katanya.

Pemenang AJL 29 juga akan menerima hadiah yang lebih lumayan iaitu selain trofi, hadiah wang tunai juga sudah dinaikkan. Bagi juara AJL29 mereka bakal menerima wang tunai sebanyak RM50,000.

Naib juara pula akan menerima RM35,000 dan tempat ketiga RM20,000. Bagi kategori vokal terbaik dan persembahan terbaik masing-masing akan membawa ganjaran RM12,000. Maklumat lanjut boleh diperolehi di www.anugerahjuaralagu.com.

Orang ramai juga digalakkan menggunakan #AJL29 bagi sebarang interaksi dan perbincangan mengenai Anugerah Juara Lagu di laman media sosial.

Ikuti @TV3Malaysia untuk mendapatkan perkembangan terkini acara ini menerusi akaun Facebook, Twitter, Instagram dan Youtube.





Previous Post Next Post