Liyana Jasmay bakal muncul dalam filem terbaharu berjudul Isyarat Cinta.
Pelakon Liyana Jasmay tidak membenarkan akaun laman sosial seperti Instagram dibuka untuk anaknya dan suami kerana bimbang mereka akan terdedah dalam persekitaran dunia glamor atau menjadi terkenal seperti selebriti lain.
Liyana, 26, berkata, perkara tersebut dilakukan bagi melindungi kedua-dua insan kesayanganya agar tidak dicemuh dengan kata-kata kesat oleh masyarakat khususnya pemilik laman media sosial.
"Anak dan suami adalah privasi bagi saya dan saya hanya berkongsi dengan peminat kadang-kadang sahaja gambar mereka. Tidak perlu berkongsi segala-galanya di laman sosial tentang mereka.
"Saya mahu melindungi mereka daripada orang bercakap buruk kerana saya tidak boleh terima apa yang orang perkatakan tentang mereka. Sebab itu saya tidak mahu beri banyak ruang kepada masyarakat melihat kekurangan dan kelebihan mereka," ujarnya kepada mStar Online.
Liyana berkata demikian ketika diminta pendapat tentang trend segelintir artis yang gemar membuka akaun media sosial untuk anak yang baru dilahirkan.
Malah Liyana menambah, dia tidak akan membawa suaminya ke majlis-majlis hiburan kecuali jika ia benar-benar perlu sahaja.
Jelasnya, majlis hiburan yang dihadiri hanyalah untuk kerja dan tidak sesuai dicampur dengan urusan keluarga.
"Kalau anda lihat saya jarang bawa suami ke mana-mana majlis hiburan kecuali ia memang penting. Kebanyakan majlis hiburan yang saya hadir adalah atas urusan kerja. Macam juga dia (suami) ke pejabat tak kan saya nak ikut," katanya.
Sementara itu, Liyana berkata, anak sulungnya Sofia Arissa yang kini berusia lapan bulan sudah menerima tawaran beberapa iklan kormersial.
Dia menerima tawaran iklan tersebut selagi ia tidak menganggu proses pembesaran bayinya itu.
"Sekarang dia ada buat dua iklan kormersil iaitu Samsung dan Nippon. Tapi dia tidak perlu buat apa sangat cuma ambil gambar sahaja.
"Lagipun saya nampak dia gembira sahaja ketika sesi fotografi tersebut," ujarnya.
Selain itu, Liyana berkata, syarikat penerbitan miliknya iaitu Mermaid Studio bakal menerbitkan sebuah filem dan dalam proses mencari pelakon yang bersesuaian dengan filem tersebut.
"Syarikat saya akan menerbitkan sebuah filem dan Insya-Allah akan mula persiapannya pada bulan April ini. Buat masa ini saya masih mencari pelakon dan jika semuanya sudah pasti saya akan umumkan tentang perkara itu," katanya.
Liyana bergandingan bersama Adi Putra dan Fizo Omar dalam Isyarat Cinta.
Sementara itu, Liyana bakal keluar dengan filem romantik berjudul Isyarat Cinta yang akan bergandingan dengan pelakon Adi Putra dan Fizo Omar.
Katanya, filem tersebut merupakan sebuah karya yang sukar dan mencabar kemampuannya sebagai pelakon.
"Dalam filem ini saya menjadi seorang gadis yang cacat penglihatan dan jatuh cinta dengan seorang lelaki yang tidak dikenali. Cerita ini sangat mencabar dan setiap hari pada penggambaran tersebut saya rasa tertekan kerana terlalu susah. Ia banyak bermain dengan emosi," ujarnya.
Filem terbitan RK Screen itu akan ditayangkan diseluruh pawagam pada 19 Mac depan manakala tayangan amal bagi mengutip derma mangsa banjir pada 4 Mac depan.