Mahar Laskar Pelangi Ditemui Mati


Verrys ditemui dalam keadaan terlentang dalam bilik sewanya di Jakarta.

Seorang daripada pelakon utama filem Laskar Pelangi ditemui meninggal dunia di bilik sewanya, petang Isnin.

Verrys Yamarno yang membawa watak Mahar dalam filem berdasarkan kepada novel Andrea Hirata itu ditemui tidak bernyawa di bandaraya ini.

Ketika anggota polis menjalankan pemeriksaan di bilik itu, ramai teman sekampusnya dari Institut Kesenian Jakarta datang sambil menitiskan air mata akibat terkejut dengan kematian Verrys.




Sebahagian lagi kelihatan berpelukan sesama sendiri.

Saksi berkata, mayat Verrys, 18, ditemui terlentang di tempat tidurnya.


Kad pelajarnya di Institut Kesenian Jakarta

Pemilik bilik sewa itu yang hanya dikenali sebagai Suan berkata, pemuda berasal dari Bangka Belitung itu sering mengadu sakit kepala berterusan.

"Dia mengadu pernah kemalangan dan sejak itu kepalanya sakit. Cuma saya tak tahu apa-apa," katanya.

Dalam filem Laskar Pelangi terbitan 2008, Verrys berjaya menghidupkan watak Mahar - seorang murid sekolah daif yang cintakan seni dan budaya.

Satu daripada babak penting yang dikenang ramai dalam filem itu ialah nyanyiannya mendendangkan lagu Seroja ketika Ikal ditinggalkan gadis Tionghua, A Ling.

Laskar Pelangi mengisahkan tentang 10 kanak-kanak yang bersahabat baik selepas mengikuti persekolahan di Sekolah Rendah Muhammadiyah di Belitung.

Selain berdepan hidup yang daif, mereka juga terpaksa mengikuti pembelajaran di sekolah yang serba kekurangan.


Verrys (kiri) kini melanjutkan pengajian dalam bidang perfileman.

Kata Suan, Verrys tinggal di bilik sewa itu bersama Mukharam Khairani yang membawa watak Kucai dan Zulfani Fasa (Ikal).

Sementara itu Andrea berkata, dia terkejut dan sedih apabila diberitahu mengenai kematian Verrys pada petang Isnin.

"Saya berasa bagaikan kehilangan ahli keluarga.

"Dia anak muda penuh bakat, tetapi apa yang berlaku ini adalah takdir dan kita harus menerimanya," katanya di Hospital Cipto Mangunkusumo, Jakarta.



Previous Post Next Post