ELLY mengimpikan untuk mengadakan konsert solo bersama AXL’s bertemu peminat.
“Oh kekasihmu ini akan merasa gembira, andai dapat bersama untuk selama-lamanya, hanya untuk menyayangimu, hanya untuk bercinta lagi.”
Itu merupakan bait-bait indah lirik lagu Akulah Kekasihmu nyanyian kumpulan AXL’s yang cukup popular sekitar tahun 1990-an.
Lagu ciptaan L.Y yang dimuatkan dalam album pertama kumpulan yang membawa maksud All Size Xtra Large itu ternyata berjaya membuahkan sebuah lagu hit yang sehingga kini menjadi dambaan seluruh peminat muzik tanah air.
Buktinya, lagu tersebut pernah menduduki carta teratas di beberapa stesen radio tempatan dan muncul sebagai juara tahunan di Carta Fulamak Sinar FM pada tahun 2008.
Siapa sangka lagu malar segar yang dihasilkan pada tahun 1996 itu cukup menghantui, bukan sahaja di Malaysia tetapi sehingga ke Indonesia, Singapura dan Brunei.
Tidak terhenti di situ, kumpulan yang kini diterajui oleh Elly (vokalis), Art-Tar (gitaris), Botax (bass) dan Rix (dram) itu turut popular dengan lagu Andai Dapat Ku Undurkan Masa yang menjadi lagu wajib didendangkan sewaktu mengunjungi pusat karaoke mahupun resepsi persandingan.
Bagaimanapun, jauh di sudut hati vokalis kumpulan itu tersimpan satu impian yang mampu memberikan kenangan terindah kepada setiap peminatnya.
Kata Elly, dia mengimpikan untuk mengadakan satu konsert solo sebagai catatan hidup buat diri mereka dan mengubat kerinduan peminat yang sudah acap kali bertanyakan soalan tersebut.
“Sebenarnya kami tidak pernah melakukan konsert secara solo. Kalau tanya mana-mana kumpulan, pasti mereka mengimpikan untuk mengadakan konsert.
“Bagaimanapun, untuk mengadakan konsert, strategi perlu diatur rapi bagi memastikan segala yang dirancang berjalan lancar.
“Terus terang, kami sudah lama berhasrat untuk mengadakan sebuah konsert solo yang istimewa dan bertenaga buat peminat kami yang berada di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Vietnam,” ujar Elly ketika ditemui Sensasi Bintang baru-baru ini.
Elly yang kini menjengah usia 39 tahun menjelaskan, bukan mudah untuk mereka mengadakan konsert secara solo kerana banyak faktor perlu diambil kira bagi memastikan konsert yang diidam berjaya dilaksanakan.
“Perkara pertama yang menjadi kerisauan kami adalah sambutan yang bakal diterima apabila mengadakan konsert nanti. Bukan apa, kami lihat terlalu banyak konsert percuma diadakan.
“Tambahan pula, untuk mengadakan sebuah konsert, kami perlu mencari penaja yang sanggup menaja konsert tersebut.
“Jika berpeluang untuk berbuat demikian, kami bercadang untuk mengadakan sebuah konsert yang sederhana asalkan dapat berjumpa setiap peminat kami dari seluruh negara,” jelas Elly sambil memberitahu, kumpulannya kini muncul dengan buah tangan terbaharu berjudul Tetapkan Jiwaku.
Resipi kejayaan
Sementara itu, ketika ditanya apakah resipi kejayaan kumpulan tersebut sehingga lagu mereka masih mendapat tempat di hati pendengar masa kini, kata Elly, dua lagu keramat itu mempunyai melodi yang istimewa sehingga mudah dihadam oleh pendengar tempatan.
“Alhamdulillah sehingga kini masih ada pendengar dan peminat yang masih menyokong AXL’s walaupun sudah berlainan zaman.
“Secara peribadi, lagu tersebut mempunyai melodi yang unik, manakala lirik yang ditulis pula mudah dihafal oleh pelbagai peringkat umur. Buktinya, anak bongsu saya yang kini berumur tiga tahun sudah menghafal semua lagu AXL’s.
“Selain itu, resipi utama lagu tersebut adalah, ia tidak ditujukan kepada satu gender sahaja. Apa yang boleh saya katakan, lelaki dan wanita boleh menerima lagu tersebut,” kata Elly yang kini mengakui, sedang mengenali seorang wanita bukan Melayu setelah hampir tiga tahun bergelar duda.
Diajak bercerita mengenai wanita yang sedang bertakhta di hatinya, Elly memberitahu, perkenalan mereka masih terlalu awal untuk melangkah ke fasa seterusnya.
“Kami baru berkenalan selama setahun.
“Buat masa ini, dialah wanita yang dirasakan sesuai. Bagaimanapun, saya belum terfikir untuk berkahwin dalam tempoh terdekat.
“Biarpun setiap orang mengimpikan sebuah keluarga yang lengkap, tetapi saya bersyukur kerana masih mempunyai rakan-rakan, keluarga dan anak-anak yang selalu bersama di saat susah dan senang,” kongsinya.