Hazama pertaruh lagu terbaharu judul Sampai Mati.
Penyanyi Hazama mengakui sukar mencari sesebuah karya yang mampu mempertahankan namanya yang sedang meningkat naik dalam industri seni tanah air.
Hazama atau nama sebenarnya Hazama Azmi, 31, berkata, dia terpaksa menolak beberapa lagu yang dirasakan kurang sesuai dengan dirinya.
"Selepas lagu Malaikat ramai juga yang beri lagu kepada saya untuk dijadikan single terbaharu, namun kebanyakkannya tidak sesuai dengan saya.
"Sebenarnya susah untuk cari lagu yang baik sebab kita pun tidak dapat nak jangka apa pendengar mahu. Lagu Relakan Jiwa dulu pun, pada asalnya saya tidak jangka ia akan hit," ujarnya kepada Artis Meletop.
Hazama berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pra dengar lagu terbaharunya berjudul Sampai Mati, yang diadakan di Estudio, di sini, baru-baru ini.
Hazama berkata, lagu Sampai Mati merupakan lagu balada keduanya selepas lagu Relakan Jiwa mendapat sambutan pendengar.
Lagu ciptaan komposer Omar K itu bakal menjadi lagu tema sebuah drama berjudul Hati Perempuan yang akan disiarkan di Slot Akasia TV3 pada Mac depan.
"Alhamdulillah, saya akan muncul dengan lagu terbaharu berjudul Sampai Mati. Lagu ini dibuat mengikut jalan cerita sebuah drama di Akasia berjudul Hati Perempuan yang akan bersiaran tidak lama lagi.
"Ia merupakan lagu tentang percintaan seperti lagu sebelum ini Relakan Jiwa yang juga popular selepas menjadi lagu tema sebuah drama di TV3," ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kerjasama dengan komposer Omar K, Hazama mengakui agak memilih untuk bekerja dengan seseorang komposer.
Katanya, bukan mudah untuk mencapai keserasian dalam membawakan sesebuah lagu yang dibuat oleh seseorang komposer.
"Saya agak memilih juga, sekarang memang rezeki saya banyak kerjasama dengan Omar K. Saya sudah faham bagaimana dia bekerja begitu juga dia faham apa yang saya mahukan.
"Dalam lagu Sampai Mati kami banyak berkongsi idea untuk beri yang terbaik hingga lagu tersebut benar-benar dapat menyentuh perasaan pendengar," ujarnya.
Lagu Sampai Mati merupakan kerjasama antara Astro dan Seventeen Eleven Music yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.