PETANG Selasa awal Januari lalu, sosok tubuh yang berjarak kurang 10 meter daripada jurufoto Noor Azlina Jaafar yang tekun membidik sasarannya di perkarangan sebuah kilang besi lama itu sedang lencun dibasahi keringat. Masing-masing mahu menjadi terbaik dalam lapangan sendiri.
Menggunakan nama glamor Hafreez Adam itu memberi mukadimah, dia sudah menumpahkan sehabis baik ilmu yang ada untuk menjadi salah seorang penghuni baharu dunia seni tempatan.
“Dua tahun rasanya agak cepat dan memang saya akui, kebanyakan watak yang diberikan kepada saya belum cukup memberikan kesan kepada penonton. Banyak lagi yang perlu saya belajar. Syukur Alhamdulillah saya semakin dikenali dan diterima. Mutu lakonana saya juga mula dinilai dengan baik. Proses yang sama membuatkan saya lebih cepat belajar.
“Saya berkembang menjadi individu yang cepat belajar dan mahu menyerap semua ilmu itu dengan sebaiknya,” kata Hafreez yang tidak meletakkan format pengorbanan yang spesifik terhadap usaha yang dicurahkan sepanjang tempoh awal bertatih dalam dunia seni.
Soalan lanjut yang diajukan pasti berkait rapat dengan populariti. Hafreez atau nama sebenarnya Hafreez Adam Aizat Zahalan, 25, diuji mengenai julat populariti yang telah dikecapi. Barometer skala satu hingga 10, di manakah letaknya nilai sebuah populariti bagi anak jati Kuala Lumpur itu. Pantas dia menjawab.
“Satu! Ya, tidak salah lagi. Kalau diberikan julat terendah, itu letaknya taraf populariti saya. Mungkin kedengaran ‘poyo’ untuk meletakkan pemberat kepada diri sendiri, terutama perihal berkaitan populariti tetapi jujur dikatakan saya tidak tahu kerana peminat sebenarnya yang menilai skala itu.
“Cuma, seperkara yang pasti, saya sedar diri kini dikenali tetapi belum popular lagi,” jelasnya sambil tertawa kecil.
MENGGUNAKAN nama komersial Hafreez Adam, pelakon baharu ini kini mula menjadi perhatian peminat di kaca televisyen.
Aliran sempurna
Hafreez pernah tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Pilihan, Festival Drama Kuala Lumpur tahun lalu, namun tuah masih belum memihak kepadanya ketika itu. Dalam usaha untuk menempatkan namanya dalam industri dan bersaing dengan barisan nama hebat tempatan, jejaka ini antara lainnya pernah membintangi beberapa buah drama rantaian popular seperti Raid, Puteri Malam dan terbaharu, drama adaptasi novel Bila Hati Berbicara.
Selain rancak dengan penggambaran drama Hati Perempuan untuk kembali mengisi skrin kaca televisyen bersama Syarul Ridzwan, Mustaqim Bahadon dan Mia Ahmad, pelakon itu juga akan muncul dalam drama rantaian 13 episod berjudul Dilema bergandingan dengan Intan Ladyana dan Talak bersama Fizo Omar dan Diana Danielle.
Namanya turut tersemat dalam telefilem 5 Kali Cinta bersama Izreen Azminda dan sekuel kedua dan ketiga filem Juvana. Itu antara portfolio yang dimiliki Hafreez.
“Saya mahu memfokuskan tahun 2015 ini terhadap drama televisyen sahaja. Saya tidak mahu mengejar semua perkara yang ada di depan mata sehingga menjejaskan pencapaian yang sudah sedia ada. Jika boleh, saya mahu berlakon watak-watak yang berkarisma dan mahu dikenali sebagai seorang pelakon serba boleh,” katanya tentang resolusi tahun ini yang mahu dicapai dengan kemas.
Peribadi
Usikan demi usikan ditepis Hafreez, sesekali ditanya soal kekasih dan keluarga, dia lebih banyak mengelak. Sebagai individu yang bukan baharu hari pertama memasuki bidang seni, selain perkembangan kerjaya sudah pasti peminat yang sentiasa memahatkan sokongan terhadapnya dahagakan secebis percikan sensasi tentang Hafreez.
Pendek kata, selangkah ke dunia seni, seseorang itu sebenarnya sudah bersedia dan harus melengkapkan diri dengan serangan setiap sudut bukan hanya bersandarkan kerjaya. Bagaimanapun, prinsip Hafreez, soal peribadi masih bukan untuk perkongsian dengan semua pihak.
“Saya tidak boleh berkongsi dengan orang ramai mengenai kisah peribadi saya, dengan siapa saya bercinta atau siapa keluarga saya. Kalau saya mahu berkahwin nanti, saya akan maklumkan. Cuma, seboleh-bolehnya saya akan cuba mengelak daripada bercerita soal peribadi. Saya minta maaf.
“Memang benar artis milik hak masyarakat apabila saya membuat pilihan untuk menjadi figura awam. Namun, itu cuma persepsi. Bagi saya, tidak semuanya harus dipegang kalau mahu berjaya. Tidak semestinya seseorang artis wajib memberitahu semua perkara mengenai dirinya kepada dunia,” jelas Hafreez yang kini lebih peka mengawal setiap tindakannya.
Mengikut cerita Hafreez, tidak lama dahulu, kakak kandungnya pernah memuat naik gambar berpelukan dengannya di Instagram. Bagaimanapun, reaksi peminat sangat di luar jangkaan. Tanpa tahu hujung pangkal, kakak Hafreez diserang secara bertubi-tubi oleh peminatnya dengan pelbagai andaian.
Ketika itu, ramai yang belum mengenali pertalian mereka berdua. Selain ada pertalian darah, urusan kerjaya Hafreez pada awal pembabitannya dulu diuruskan oleh kakak kandungnya.
HAFREEZ kini sibuk dengan penggambaran drama rantaian Hati Perempuan.
“Dari zaman belajar lagi, saya memang bukan seorang individu yang akan bercerita mengenai keluarga atau kisah peribadi. Sesiapa yang mengetahui tentang diri saya akan tahu dengan sendirinya.
“Kalau ditanya adakah saya seorang yang suka berselindung, memang benar itulah diri saya. Saya mahu melindungi keluarga saya dan mereka juga sangat memahami serta sering mempertahankan saya. Mereka (keluarga) ialah individu yang sangat saya sayang dan mahu dijaga sebaik mungkin. Pantang kalau ada yang cuba mengganggu mereka!” tegasnya.
Hipokrit?
Pendirian itu meletakkan Hafreez di dalam zon artis yang boleh disifatkan terlalu berahsia, namun kata anak kedua daripada tiga beradik itu, dia sentiasa berfikiran positif dan tidak mengambil pusing penilaian sekeliling terhadap dirinya. Paling penting, dia berpegang atas prinsip tersebut.
“Terpulanglah, masih ada yang berfikiran terbuka dan menerima prinsip kerja saya dalam lapangan seni ini dengan cara tertentu. Saya sentiasa berfikiran positif dan saya perlu berpegang kepada apa yang saya mahukan,” jelas Hafreez lagi.
Hipokrit atau tidak? Hafreez menyediakan dua jawapan iaitu ya dan tidak.
Katanya: “Ya, saya hipokrit dan saya tidak hipokrit. Sikap itu perlu kerana saya seorang yang nakal dan saya perlu menjadi hipokrit apabila berada dalam kelompok individu yang tidak saya kenali. Senang cakap, jaga adab dan kawal sikap agar tidak terlanjur dalam banyak hal, itu akan membuat saya selamat.”