Stacy: Saya gembira, malu


Stacy dan Akim mengesahkan mereka berada dalam fasa bercinta.

TEKA-TEKI yang dipendam pasangan penyanyi Akim dan Stacy akhirnya terurai menerusi pengakuan dalam sebuah temu bual bersama stesen radio pada pagi Rabu lalu. Berdasarkan temu bual tersebut, Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, 24, mengakui rapat dengan Stacy dan menyifatkan perasaan antara mereka adalah cinta.

Dalam rakaman temu bual tersebut, Akim dengan berani mengaku: “Saya dengan Stacy memang sangat rapat dan saya boleh katakan perasaan itu adalah perasaan cinta. Alhamdulillah, perasaan itu saya dapat rasakan dan dia pun dapat rasa apa yang saya rasa. Semoga hubungan kami dapat restu daripada semua orang dan Stacy akan terbuka hati suatu hari nanti.”

Selama ini, baik Akim mahupun Stacy, kedua-duanya enggan mendedahkan hubungan mereka sebaliknya lebih selesa dianggap berada dalam fasa persahabatan sejak lima tahun lalu. Kosmo! menghubungi Stacy, juara Akademi Fantasia musim keenam untuk mendapatkan reaksi berhubung pengakuan mengejut Akim itu.




Artis Meletop!: Apakah reaksi pertama Stacy apabila mendapat tahu Akim telah membuat pengakuan mengejut mengenai hubungan cinta kalian ketika ditemu bual oleh sebuah stesen radio baru-baru ini?

STACY: Saya terkejut apabila mendapat tahu cerita tersebut dan perasaan saya menjadi bercampur-baur. Ada gembira dan ada malu, tetapi apa yang pasti saya tidak bersedia untuk mengulas lebih panjang tentang pengakuan tersebut kerana risau disalah erti oleh sesetengah pihak kerana ini sebuah isu yang sensitif. Saya rasa mungkin ada sebab tertentu Akim membuat pengakuan itu tetapi buat masa sekarang saya kelu untuk bercakap panjang.

Apabila Akim sudah mengaku perasaannya terhadap anda bersifat cinta, adakah anda juga mempunyai perasaan sama terhadap Akim?

Saya tidak akan menafikan perkara tersebut (bercinta) dan saya hanya boleh mengiyakan pengakuan Akim itu memandangkan saya perempuan, jadi tidak manis kalau bercerita panjang lebar.

Adakah kalian sudah berbincang terlebih dulu sebelum mendedahkan perkara tersebut?

Tiada. Akim membuat tindakan ini secara mengejut dan selepas pendedahan itu kami ada berhubung menerusi kiriman teks sahaja. Masing-masing malu dan tidak ada sebarang perbincangan lanjut mengenai rasional tindakan Akim pada pagi Rabu lalu. Kami tiba-tiba menjadi malu antara satu sama lain.

Adakah anda bimbang isu percintaan ini akan berhubung kait dengan keluarga dan perbezaan agama anda kalian berdua?

Buat masa sekarang keluarga kami tidak pernah menghalang. Keluarga menyokong apa-apa sahaja yang saya lakukan dan menghormati pendirian saya. Jadi tiada masalah berkaitan keluarga pun. Pengumuman ini dilihat sebagai penjelasan mengenai status kami bagi mengelakkan salah faham dan semua pihak bersedia.

Bagaimanakah penerimaan keluarga Akim pula terhadap anda?

Seperti keluarga saya sendiri, kami menghormati satu sama lain dan tiada masalah untuk menjalin hubungan baik. Saya bangga dan gembira kerana hubungan saya dan keluarga Akim tiada sebarang halangan atau masalah. Masing-masing percaya kepada agama masing-masing, jadi tidak pernah wujud jurang perbezaan pun.

Secara umumnya, adakah anda sudah bersedia untuk melangkah ke fasa baharu menjadi isteri pada usia 25 tahun?

Apabila saya bersedia menjadi ibu kepada Bella (anak angkat) secara tidak langsung saya tiada masalah untuk menjadi seorang isteri memandangkan saya juga seorang wanita mementingkan keluarga. Cuma saya masih belum bersedia daripada segi kerjaya kerana banyak yang belum saya capai sepanjang menjadi penyanyi. Jika berkahwin kelak, saya akan berdepan banyak batasan dan persediaan itu saya perlu buat mulai sekarang supaya tidak terkejut apabila sampai masanya untuk berkahwin nanti.

Apakah perkembangan terkini mengenai anda?

Saya baru selesai merakamkan sebuah single berjudul Berteman Sepi kolaborasi dengan kumpulan Ungu di Jakarta, Indonesia beberapa minggu lalu. Ia sebuah lagu balada dan single ini akan dimuatkan dalam album terbaharu kumpulan Ungu yang akan dilancarkan di Malaysia pada bulan April nanti. Bekerjasama dengan mereka sangat menyeronokkan dan tidak kekok walaupun mereka dianggap legenda dalam arena muzik Indonesia.

Selain itu, saya akan muncul menerusi single terbaharu, Not For Sale yang dipetik daripada album saya #1. Kami menjalani banyak untuk rakaman klip video lagu tersebut kerana kali ini saya menampilkan aksi tarian yang lain daripada koreografi yang pernah dilihat sebelum ini.



Previous Post Next Post