Yuna dan Hatta Dolmat bergabung dalam projek fesyen



Semalam penyanyi dan komposer Yuna atau nama penuhnya Yunalis Zarai mengumumkan projek fesyen terbaharu bakal dilancarkan dengan kerjasama pereka fesyen Hatta Dolmat.

Yuna memaklumkan hal berkenaan di laman Instagram miliknya di @yunamusic.

Menurut keterangan gambar yang memaparkan Hatta sedang melakar gambar serta mengambil ukuran itu, penyanyi lagu Dan Sebenarnya itu turut memaklumkan jenama fesyen yang akan dilancarkan kelak itu turut akan dijual kepada orang ramai.



Hatta dan Yuna juga sudah berkawan baik sejak beberapa tahun lalu. Kali pertama Hatta diberi kepercayaan mereka baju Yuna ialah menerusi Anugerah Industri Muzik (AIM) kali ke-26.





Bagaimanapun projek terbaru mereka masih dalam perancangan serta perbincangan.

Lalu, Hatta yang ditanya kepadanya sendiri sebentar tadi juga sangat teruja dengan projek itu tetapi belum dapat mendedahkan secara terperinci apa yang bakal mereka persembahkan tak lama lagi.



"Selama bekerjasama dengannya, saya sudah mula faham apa yang dia suka dan sebaliknya. Lantaran itulah saya terus bersetuju untuk bergabung dengannya bagi projek ini. Setakat ini masih dalam peringkat produksi.

"Saya juga peminatnya dan bersyukur atas tawaran ini. Kami sama-sama meminati fesyen dan muzik, jadi lebih nampak jelas apa yang kami mahukan. Kami ada keserasian," kata Hatta sambil memberitahu yang Yuna kini berada di Los Angeles.

Kata Hatta, selalunya kerana mereka bekerjasama dari jarak jauh kerana komitmen Yuna di luar negara.

"Kami berbincang menerusi emel atau aplikasi WhatsApp. Kalau dia kembali ke Malaysia, dia akan datang ke butik saya di Shah Alam.

"Baju hasil sentuhan saya untuknya di AIM 26 mendapat perhatian Yuna sendiri kerana ia lari dari kebiasaan daripada mana-mana rekaan saya yang terdahulu. Saya guna fabrik sekuin dan gaun ombre itu turut mendapat pujian ramai," katanya.

Usaha untuk menghubungi Yuna di laman Twitter miliknya tidak berjawab kerana zon masa yang berbeza.



Previous Post Next Post