Fad Bocey kahwin pada usia muda


SAMA-SAMA muda. Fad yang berusia 24 tahun bersama bakal isterinya, Nur Syahirah, 21 tahun

BIARPUN tidak meraih gelaran juara dalam Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM2014), kehadiran kumpulan pelawak Bocey yang dianggotai oleh Achey, Fad dan Abam kian meraih populariti dan penerimaan khalayak.

Tahun ini, rezeki Bocey bukan sahaja melimpah-ruah dalam soal karier seni dan dunia komedi yang mereka ceburi sebaliknya, rezeki di luar bidang kerja turut digendong salah seorang anggota mereka.

Fad atau nama sebenarnya, Fadzlie Nizam, 24, sedang menghitung hari menunggu sebuah lagi rezeki peribadi yang dijanjikan Tuhan terhadap dirinya.

Bakal mendirikan rumah tangga pada 14 Mac ini bersama wanita yang berasal dari Jitra, Kedah, Fad menyifatkan fasa yang bakal dijalani bersama Nur Syahirah A. Rahman, 21, akan memberikan lebih semangat dan kekuatan menjadi anak seni.

Ditemui sewaktu pengumuman Bocey sebagai salah sebuah kumpulan yang akan terbabit dengan pementasan Lawak Ke Der! di Istana Budaya, baru-baru ini, Fad turut bercerita tentang zaman bujangnya pada usia yang masih muda.

Ikuti temu bual Kosmo! selanjutnya mengenai bibit percintaan dan persediaan perkahwinan pasangan merpati dua sejoli itu.



Artis Meletop!: Benarkah anda akan berkahwin dengan kekasih hati, Nur Syahirah dalam masa terdekat ini?

FAD: Ya, saya akan berkahwin dengan kekasih saya, seorang pelajar sebuah universiti swasta di ibu kota yang dikenali sebagai Nur Syahirah, 21, pada 14 Mac ini. Kami telah merancang untuk berkahwin di kediaman Nur Syahirah di Jitra, Kedah.

Bolehkah anda ceritakan sedikit mengenai persiapan majlis perkahwinan tersebut?

Alhamdulillah, setakat ini, semuanya berjalan dengan lancar. Mengikut perancangan, kami bertunang sebelah pagi dan majlis akad nikah akan diadakan pada sebelah petang. Kami merancang mengadakan resepsi bagi kedua-dua belah pihak di Restoran Raha, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 24 Mei depan. Hal ini bagi memudahkan keluarga kami untuk hadir. Kebanyakan keluarga saya tinggal di Johor, manakala, pihak perempuan pula berasal dari utara. Jadi, kami rasa elok jika resepsi di Kuala Lumpur bagi memudahkan urusan dan adil bagi kedua-dua belah pihak.

Bagaimanakah kalian bertemu dan menjalinkan hubungan percintaan?

Kami sudah dua tahun mengenali antara satu sama lain. Bagaimanapun, pada ketika itu hubungan kami hanya sebagai teman biasa sahaja, tidak lebih daripada itu. Dua tahun lalu, dia (Nur Syahirah) sering menemani kakak angkatnya, Jihan Muse yang menyertai MLM2012. Saya mula mendekatinya untuk berkenalan. Setelah sekian lama berkawan, akhirnya pada 21 Oktober tahun lalu, baru saya bersedia melamarnya menjadi kekasih. Kami bercinta hanya selama enam bulan sebelum saya mengambil keputusan berjumpa dengan kedua ibu bapanya di Langkawi, Kedah untuk memohon restu terhadap hubungan kami.

Anda baru berusia 24 tahun, adakah tidak rasa terlalu awal untuk berkahwin?

Saya percaya kepada ketetapan jodoh, jika sudah ditakdirkan untuk menamatkan zaman bujang pada usia muda, saya terima seadanya. Lagipun, saya rasa sudah tiba masanya untuk mempunyai teman yang boleh menjaga saya sepenuh masa. Sebagai contoh, saya melihat Achey, kehidupannya lebih teratur kerana diuruskan isteri.

Beralih kepada soal karier, anda bersama Bocey terpilih berada di pentas Lawak Ke Der! 2015 pada 16 hingga 19 April depan. Pentas ini merupakan sebuah pentas besar. Apakah perasaan kalian?

Sudah tentu saya dan rakan di dalam kumpulan Bocey berasa sangat gemuruh. Bagaimanapun, kami berasa terhormat kerana dalam banyak-banyak pelawak baharu yang hadir, Bocey dipilih untuk berdiri di pentas sama seperti pelawak senior yang lain termasuk Afdlin Shauki, Harith Iskander dan Douglas Lim.

Adakah anda merasakan bahawa kualiti lawak Bocey sudah berada pada tahap profesional berbanding pelawak lain?

Kami tidak pernah merasakan sebegitu, malah masih banyak ilmu yang perlu dipelajari dalam bidang seni lawak ini. Sekurang-kurangnya, kami berpeluang menimba ilmu bersama pelawak senior lain terutamanya berkaitan stand up comedy. Pada masa yang sama, kami juga berharap agar pentas ini mampu membuka ruang kepada Bocey untuk lebih menyinar dalam industri lawak pada masa akan datang.

Previous Post Next Post