Penyudah bahagia Hanez Suraya



HAMPIR dua tahun menempuh laluan berkerikil, ternyata percintaan Hanez Suraya, 30, dengan ahli perniagaan, Romie Razin Adilha Datuk Abd. Jais, 35, kukuh terpateri. Jika sudah tertulis bahawa jodoh itu milik mereka, taufan kontroversi sekali pun tidak mampu menghalang suratan takdir.

Itulah penyataan pertama yang terungkap saat menyaksikan hari bahagia pelakon paling kontroversi 2014, Hanez atau nama sebenarnya Hanez Suraya Abdul Aziz, 30, setelah sah bergelar isteri kepada Romie dengan sekali lafaz di Masjid Putra, Putrajaya, 14 Mac lalu.

Anggun bersalut kurung moden berona putih hasil sentuhan Wan Pa, Hanez yang kelihatan tenang awalnya bertukar perasaan. Sewaktu majlis akad bermula, dia tidak mampu menahan sebak. Puas ditahan, mutiara jernih yang bertakung di kolam matanya gugur jua.

Sebelum hidup matinya ditatang seorang suami, Hanez sudah bertemu banyak kematangan akibat teruji oleh cinta. Benarlah, sesiapa pun tidak akan benar-benar menikmati kemanisan tanpa mengecap erti kepahitan.

Hanez dan Romie juga begitu, hubungan yang pernah terputus sekitar Jun 2014 gara-gara tekanan dan badai yang bertimpa-timpa itu akhir sampai ke fasa bahagia.



“Syukur, itu sahaja yang boleh menggambarkan perasaan saya selepas selesainya majlis pernikahan kami.

“Akhirnya, setelah melalui pelbagai dugaan hebat dan juga perpisahan singkat, jodoh kami bertaut kembali dan saya berharap ikatan ini berkekalan hingga syurga,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis akad nikahnya.

Di sisinya, Romie juga berkongsi rasa terharu. Sesekali lelaki beranak dua itu menghela nafas bagi mengelak air mata jatuh.

“Saya berasa amat bertuah kerana akhirnya dapat memiliki Hanez, walaupun pernah ditolak tetapi kini, dia sudah menjadi isteri saya yang sah. Saya mengharapkan perkahwinan pada kali ini adalah yang terakhir dan tiada lagi selepas Hanez menjadi suri hati saya, “ katanya sambil diperhatikan Hanez.

Pada majlis itu, Hanez dinikahkan oleh bapa kandungnya, Abdul Aziz Mohd Said sambil disaksikan oleh Imam Besar Masjid Putra, Abd. Manaf Mat.Dia menerima mas kahwin berjumlah RM20,000.

Pengantin perempuan menerima tujuh dulang barang hantaran berupa seutas rantai, sebuah beg tangan, alat solekan, minyak wangi, sepasang kasut, tepak sirih dan Al-Quran berserta tasbih.

Pihak pengantin lelaki pula dibalas dengan sembilan dulang hantaran berupa sirih junjung, Al-Quran, sejadah, kek, buah-buahan, minyak wangi, seutas tali pinggang, sepasang baju dan seluar, beg tangan dan sepasang kasut.


ROMIE mencium dahi Hanez usai dijabkabulkan di Masjid Putra, Putrajaya, Sabtu lalu.

Kontroversi

Mengimbas kembali sejarah perkenalan mereka, banyak liku perit yang ditempuh Hanez dan Romie sebelum bergelar pasangan suami isteri yang sah. Sejak awal hubungan romantis mereka dihidu khalayak, Hanez telah dicap perampas suami orang. Menurut dakwaan bekas isteri Romie, Nurliyana Abdul Manan, Romie belum lagi bercerai ketika menjalinkan hubungan bersama Hanez.

Apabila kontroversi yang melanda sampai ke kemuncak, Hanez membuat sidang media khas meminta Nurliyana memohon maaf secara terbuka atas dakwaan menjatuhkan maruahnya.

Mereka juga pernah berpisah buat seketika apabila Hanez membuat pengumuman bahawa dia dan Romie sudah putus hubungan dan menyatakan kesanggupan mengundur diri demi kebahagiaan Romie sekeluarga.

Namun begitu, industri hiburan sekali lagi dikejutkan apabila dramatis itu mengesahkan, mengikat tali pertunangan dengan Romie pada 3 Januari lalu. Majlis itu berlangsung sebulan selepas perceraian Romie dan Nurliyana berakhir dengan talak satu.

Mengulas kisah penuh bara itu, Hanez berkata, walau apa sahaja yang telah berlaku pada masa lalu, dia sudah pun melupakan segala kepahitan dan bersedia untuk memulakan kehidupan berumah tangga bersama Romie.

“Selepas ini, saya harapkan tiada lagi perkara lepas disebut-sebut dan saya meminta anda semua doakan yang baik-baik sahaja untuk saya dan suami,” katanya.

Romie turut menyokong keinginan Hanez yang ingin membuka lembaran baharu di dalam kehidupan mereka dan tidak mahu lagi menoleh ke belakang.

“Tiada apa lagi yang perlu dibangkitkan tentang hubungan kami, cukuplah setakat apa yang tersebar luas sebelum ini.

“Saya akan berusaha untuk membimbing Hanez ke arah yang lebih baik. Saya berharap dia juga bakal menjadi isteri serta ibu yang terbaik untuk kedua-dua anak saya dan bakal zuriat kami kelak,” kata Romie.


HANEZ kini menjadi ‘ibu segera’ kepada anak-anak suaminya, Putra Adreeshah (kanan) dan Putra Rayqarlshah (kiri).

Bukti cinta

Ditanya mengenai keistimewaan Hanez, pandangan lelaki itu redup menatap Hanez di sisinya.

“Salah satu sebab utama kenapa saya memilih Hanez ialah kerana keakraban dia dengan anak-anak saya, Putra Adreeshah,9, dan Putra Rayqarlshah,3. Saya juga kagum dengan kekuatan Hanez bertahan ketika hubungan kami diuji sepanjang tahun lepas.

“Bukan mudah bagi seorang wanita untuk menerima seorang lelaki yang sudah mempunyai anak, namun Hanez ikhlas menerima saya dan anak-anak.

“Pernikahan inilah bukti cinta saya terhadap Hanez Suraya,” jelas Romie.

Menyentuh berkenaan perjalanan karier seni, Hanez berkata, kerjaya bukan lagi keutamaan kepada dirinya selepas bergelar seorang isteri dan ‘ibu segera’.

“Jikalau dahulu, karier menjadi perkara nombor satu tetapi kini, keluarga ialah segala-galanya. Saya sudah mempunyai batas-batas tertentu dan perlu menjaga hati banyak pihak sebelum melakukan sesuatu perkara.

“Fokus saya sekarang kepada anak-anak kerana mereka masih kecil dan saya pula orang baharu di dalam kehidupan mereka,” ujar Hanez tentang hari esoknya.

Sebagai suami, Romie bagaimanapun memberikan keizinan jika Hanez mahu terus bergiat dalam industri asalkan tahu batasan.

“Saya tidak menghalang mahupun meletakkan syarat kepada Hanez, namun saya beruntung kerana dia memahami kedudukannya sebagai seorang isteri. Jika terdapat tawaran berlakon, dia akan berbincang dengan saya terlebih dulu sebelum membuat keputusan.

“Mungkin adegan berpelukan atau berpegangan tangan ketika penggambaran tidak akan berlaku lagi. Dia bergambar dengan lelaki pun, saya sudah merasa cemburu. Tetapi bukanlah cemburu yang membuta tuli, itu tandanya sayang,” kata Romie sambil berseloroh.

Bercakap mengenai perancangan bulan madu pula, Romie berhasrat untuk membawa isterinya itu menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci pada April ini jika tiada aral melintang.

“Mengikut perancangan awal, kami berdua akan berlepas ke Mekah pada bulan April tetapi itu sekiranya tiada apa-apa halangan.

“Anak-anak akan kami bawa sekiranya jadual perjalanan tidak bercanggah dengan waktu persekolahan, tetapi setakat ini yang pasti, saya dan Hanez akan menunaikan ibadah umrah sebagai tanda syukur diijabkabulkan,” jelasnya.

Romie turut memberitahu bahawa anak sulungnya, Putra Adreeshah kini berada bawah jagaannya manakala anak bongsunya, Putra Rayqarlshah pula dijaga secara bergilir-gilir bersama bekas isteri.

Mereka berdua juga tidak merancang berkenaan cahaya mata dan menyerahkan segalanya kepada takdir, namun Hanez menyatakan keinginan Romie untuk menimang cahaya mata perempuan memandangkan anak Romie semuanya lelaki.

Selain akad nikah di Putrajaya, Hanez dan Romie turut mengadakan majlis resepsi perkahwinan mereka di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara pada 22 Mac nanti. Selang sehari selepas bernikah Sabtu lalu, mereka diraikan dalam sebuah majlis di rumah ibu Romie di Sri Andalas, Klang, Selangor.

Previous Post Next Post