Melly Goeslaw cuma tutup kepala, badan



Baru-baru ini, penyanyi serta komposer terkenal, Melly Goeslaw menimbulkan kekecohan di laman sosial apabila fesyen hijabnya yang mengenakan kain pelikat serta sanggul terlampau tinggi dianggap menghina wanita bertudung.

Perbalahan di antara peminat berkenaan kesesuaian fesyen itu akhirnya mengundang satu penjelasan panjang lebar daripada Melly sendiri menerusi akaun Instagram rasminya.

Menurut coretan itu, Melly menegaskan dirinya bukan seorang wanita berhijab kerana dia menutup bahagian-bahagian badan yang dirasakan perlu tanpa berniat mahu digelar sebegitu.


“Saya menutup sesetengah bahagian tubuh kerana selesa berpakaian seperti itu. Jika diikutkan, cara pemakaian saya belum cukup memenuhi syarat seorang wanita berhijab.

“Seorang wanita yang menutup aurat itu selalunya dianggap betul cara hidupnya, maka itu sememangnya bukan diri saya yang masih banyak perkara perlu dipelajari,” jelas Melly.

Namun begitu, penyanyi itu mengaku menerima kekurangan yang ada pada dirinya kerana itu bermakna sinar harapan untuk berubah menjadi lebih baik dan masih terbuka luas.

Sentiasa menyimpan niat mahu menjadi seorang wanita dan isteri yang solehah, Melly turut menjelaskan jika sudah bersedia untuk berhijrah menjadi wanita berhijab sepenuhnya maka dia akan meninggalkan dunia seni.

“Ketika sudah sah berhijab mengikut sunnah, saya tidak akan berlakon filem, menyanyi, menerima undangan menjadi juri atau melibatkan diri dalam industri hiburan yang penuh dengan fitnah dan maksiat. Saya akan berada dalam dunia sendiri dan melakukan perkara-perkara yang diamalkan oleh isteri para rasul,” tulisnya lagi.

Previous Post Next Post