Adam Corrie Tunai umrah bersama mualaf



PELAKON Adam Corrie berkongsi keterujaan dan melahirkan rasa syukur apabila impiannya untuk membawa saudara mualaf menunaikan ibadah umrah terlaksana.

Menurut Corrie atau nama sebenarnya Adam Corrie Lee Abdullah, 47, dia akan berangkat ke Makkah dan kemudian ke Madinah dari 10 hingga 21 Jun ini bersama sahabatnya yang juga pelakon terkenal, Adi Putra.

"Saya telah merancang program Kembara Iman ini sejak dua tahun lalu namun terhenti kerana kekurangan dana.

"Ini projek pertama saya dan Alhamdulillah walaupun telah melalui pelbagai halangan dan rintangan, akhirnya saya berjaya melaksanakannya bulan ini dengan bantuan rakan saya, Adi Putra.

"Untuk tahun hadapan saya sasar untuk membawa 40 orang mualaf pula ke Makkah, namun itu bergantung kepada tajaan yang saya dapat," katanya kepada Zass.


Corrie berkata, dia berharap tajaan dan sokongan kepada saudara mualaf akan berterusan pada masa akan datang kerana sebagai saudara baharu, mereka amat memerlukan bimbingan daripada saudara seagama.

“Kami ibarat anak kecil yang masih memerlukan bimbingan dan sokongan daripada masyarakat luar agar akidah kami terus terpelihara.

"Malah saya sebagai saudara baharu dalam Islam juga bertanggungjawab untuk memainkan peranan dalam membantu orang yang dalam kalangan saya.

"Saya tahu apa masalah kami dan melalui Program Kembara Iman inilah saya dapat membantu sahabat-sahabat mualaf,” katanya.

Menerusi program itu, Triways Travel Network antara syarikat yang menghulurkan dana dari segi pengangkutan, penginapan, kelengkapan dan makanan buat jemaah mualaf yang terpilih untuk menunaikan umrah.

Pihak lain yang turut sama menyumbang dan memberi kerjasama ialah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Baitulmal dan Hadid Holidays.

Bagaimanapun, Corrie masih mengalu-alukan sumbangan dana buat keluarga mualaf yang tinggal di Malaysia.


Terharu diberi kepercayaan

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkininya, Corrie yang sebelum ini terkenal dengan watak antagonis terharu apabila diberi kepercayaan oleh pengarah untuk membawakan watak utama menerusi filem terbaharu terbitan ND Creative Pictures berjudul JB Pailang.

Menurut Corrie, pengarah, Adam Malik telah melamarnya untuk menjayakan watak sebagai Addy Pailang dan bakal memulakan penggambaran pada November ini.

“Buat julung kalinya saya akan berlakon sebagai hero. Sebelum ini banyak memegang watak pembantu dan saya teruja kerana diberi tanggungjawab sebagai peneraju utama JB Pailang,” katanya ketika ditemui pada majlis previu filem Darah Panas yang berlangsung di One Utama, Damansara, baru-baru ini.

Previous Post Next Post