Amar Baharin: Itu semua gosip liar


Perkahwinan antara Amar dan Amyra yang digembar-gemburkan bakal berlangsung pada November ini tidak benar.

KISAH panas yang melingkari dua pelakon, Amar Baharin dan Amyra Rosli seperti tidak pernah surut. Satu persatu kisah mereka disensasikan dan dijadikan bahan berita. Sejak Mac lalu, mereka dikhabarkan bakal mendirikan rumah tangga.

Sudah beberapa kali menafikan sekeras-kerasnya perkhabaran tersebut, Amar Baharin, 30, menjelaskan, hubungannya dengan Amyra tidak lebih sekadar rakan artis. Keintiman mereka mula menjadi perhatian selepas digandingkan dalam drama bersiri Suamiku Encik Sotong.

Bagi Amar, kisah itu sengaja ditimbulkan kerana karier seni mereka dikendalikan pengurus yang sama, Noor Zaridah Ahmad, iaitu ibu kandung kepada Amyra.

Namun, bak kata orang, jika tiada angin masakan pokok bergoyang. Belum reda isu bercinta, terbaharu, muncul pula dakwaan mengatakan Amar dan Amyra sudah pun menetapkan tarikh perkahwinan mereka. Pasangan itu dikatakan sudah menetapkan untuk berkahwin menjelang November ini.

Mengakui terkejut dengan dakwaan tersebut, Amar yang dihubungi Kosmo! baru-baru ini mengulas lanjut kontroversi tersebut.


ArtisMeletop!: Nampaknya gosip mengenai perkahwinan antara Amar dan Amyra masih belum padam. Terbaharu, anda didakwa bakal mengahwini Amyra pada November ini, apa komen anda?

AMAR: (Ketawa) Sumpah saya memang terkejut beruk dengan berita tersebut. Siap ada tulis tarikh sebenar perkahwinan, sampaikan berita tersebut nampak sudah melampau dan tidak logik.

Sudah tentu saya menafikan perkara itu kerana antara saya dan Amyra, kami tiada apa-apa hubungan cinta selain rakan kerja dan berkongsi pengurus.

Kami tidak pernah mempunyai sebarang hubungan istimewa, apatah lagi merancang ke arah untuk berkahwin.


GOSIP percintaan antara Amar Baharin dan Amyra Rosli hangat diperkatakan apabila mereka bernaung bawah pengurusan yang sama. Lebih-lebih lagi, pengurus mereka berdua merupakan ibu kandung Amyra sendiri.

Mungkin anda tahu bagaimana cerita sudah tetap tarikh nikah itu boleh muncul?

Saya tidak pasti. Mahu cakap lebih pun, saya tidak berani kerana saya tidak tahu siapa yang memulakan gosip liar itu.

Bagi saya, perkara ini berlarutan disebabkan mulut orang. Jika seseorang individu itu mula mereka-reka cerita dan menyampaikan cerita rekaannya kepada orang lain, maka cerita itu tersebar dengan cepat.

Apa yang pasti, individu yang menyebarkan perkara ini seorang yang sukakan perhatian. Kadangkala, tanpa sebab pun seseorang manusia itu boleh mereka-reka cerita sesuka hati.

Sejurus mendapat tahu tentang perkara itu, adakah anda ada berbincang dengan Amyra?

Sebenarnya, saya dan Amyra sudah membincangkan perkara ini sejak gosip mengatakan kami bercinta mula tersebar. Kami berasa pelik mengapa hubungan atas dasar profesional itu terus menjadi ancaman kepada orang di luar sana.

Selepas kisah itu sering diperkatakan, kami sudah tidak mahu mempedulikan kata orang. Jika semakin dilayan, semakin besar jadinya nanti.

Sejujurnya, saya tidak mahu perkara ini diperbesar-besarkan. Walaupun nampak remeh, tetapi perkara seperti ini mampu memberi tekanan emosi kepada saya dan Amyra.

Malah, kerja saya juga boleh terganggu dengan hal kecil sebegini. Walaupun perkara ini tidak benar, tetapi ia tetap membuatkan saya berfikir. Mahu hafal skrip drama pun boleh terganggu. Pada masa sama, saya sangat menghormati ibu Amyra. Kalau boleh, hentikanlah gosip sebegini kerana saya tidak mahu ibu Amyra turut terkesan.

Sebagai seorang artis yang acapkali dipanaskan dengan cerita kontroversi, adakah perkara sebegini menjejaskan fokus dan memberi tekanan kepada anda?

Pada mulanya, ya. Saya memang tertekan setiap kali berdepan dengan cerita tidak benar. Lama-kelamaan, saya jadi lali. Perkara sebegini mematangkan diri dan Alhamdulillah, sekarang saya hanya fikirkan hidup dan kerjaya.

Saya menganggap segala gosip liar itu umpama angin lalu. Lebih baik biarkan sahaja daripada memikirkan secara serius. Takut nanti diri sendiri yang susah.

Previous Post Next Post