Scha mahu balas dendam Syawal ini


SCHA tidak mahu melepaskan peluang menikmati pelbagai juadah hari raya.

Sejak pelakon dan pengacara, Scha Al Yahya, 32, melahirkan anak perempuannya, Lara Alana tahun lalu, fokus wanita bertubuh tinggi lampai itu lebih banyak tertumpu kepada keluarga.

Ramadan kali ini ternyata memberi lebih banyak makna pada wanita dengan nama sebenar, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir itu dengan keletah Lara yang sudah hampir menginjak usia setahun.

Jika pada tahun lalu Scha masih lagi sarat mengandungkan Lara tetapi kini permata hatinya dengan suami, Awal Ashaari itu sudah boleh turut serta mewarnai aktiviti Ramadan mereka sekeluarga.


"Kehadiran Lara banyak mengisi ruang kosong dalam kehidupan saya dan Awal. Jika sebelum ini bersahur dan berbuka hanya berdua, sekarang anak menambah keseronokan berpuasa itu.

"Memang Lara tidak berpuasa tetapi apabila kami bangun sahur, dia kadang-kadang akan bangun sekali untuk meminum susu dan apabila berbuka, saya akan pastikan dia ada di sebelah supaya senang menyuap makanan kepadanya," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Transformers: Age Of Extinction versi bahasa Melayu anjuran HBO Asia di Le Meridien, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menerusi filem itu, Scha dipilih menjayakan watak seorang saintis muda bernama Darcy Terell dan ini merupakan kali pertama dia membuat filem alih suara bergenre animasi.

Tambah Scha lagi, dia bertuah kerana setakat ini, Lara senang dijaga dan tidak cerewet memilih makanan, malah memakan apa sahaja yang disuap oleh ibunya.

Selain daripada itu, Scha juga menyatakan rasa tidak sabar untuk menyambut Aidilfitri kerana tahun lalu dia tidak beraya seperti orang lain.

"Memang saya teruja menanti Syawal kerana tahun lepas berpantang melahirkan Lara jadi banyak makanan yang saya tidak boleh makan, sebaliknya hanya sekadar boleh dipandang. Secara peribadi, saya rasa sangat mencabar berpantang ketika beraya.

"Tahun ini memang hidangan wajib seperti ketupat, rendang, sate dan kuih-muih raya akan saya makan sebagai misi ‘balas dendam’," ujarnya sambil tergelak kecil.

Kekal langsing

Walaupun sudah beranak anak satu, susuk tubuh Scha masih lagi ramping dan cantik, tidak ubah seperti zaman remajanya sewaktu memenangi pertandingan Dewi Remaja pada tahun 2006.

Tertawa saat ditanya rahsia, Scha berkata, dia tidak mengamalkan apa-apa petua dan mengaku sebagai seorang yang kuat makan.

"Tiada istilah diet dalam kamus hidup saya kerana kalau orang yang kenal Scha, mereka tahu saya gemar makan. Bagaimanapun, saya mengaku memang seorang yang risau badan naik jika makan banyak.

"Saya kekal langsing bukan sebab kelebihan tetapi mungkin kerana lebih kepada genetik iaitu keturunan keluarga memang berbadan kurus," jelasnya lagi.

Tambah Scha lagi, dia juga seorang yang suka bersenam kerana baginya, perkara itu menenangkan fikiran dan selesa apabila peluh keluar.

Malah dengan kehadiran Lara, ia juga sedikit sebanyak membuatkan fizikalnya kekal langsing dan sihat kerana sibuk menjaga si kecil yang semakin aktif.

"Saya jenis amalkan makan semua tapi dalam kuantiti sedikit, jadi semua makanan saya boleh rasa.

"Lara pula sekarang sedang lasak dan aktif, jadi kalau tidak bersenam pun tenaga saya memang banyak dihabiskan melayan dia," tuturnya yang hanya akan mula aktif berlakon semula selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Previous Post Next Post