Che Ta tidak rancang tambah anak


SELEPAS melahirkan Aaisyah Dhia Rana pada 1 November tahun lalu, Che Ta mengakui dia tidak merancang untuk mempunyai zuriat lain pada masa akan datang.

SELEPAS menimang cahaya mata perempuan pada 1 November tahun lalu, aktres jelita, Rozita Che Wan memberitahu, dia tidak merancang menambah zuriat pada masa akan datang.

Rozita atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta yang mendirikan rumah tangga bersama pelakon Zain Saidin pada 13 Disember 2013 telah dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Aaisyah Dhia Rana, sembilan bulan.

Bagi aktres berusia 43 tahun itu, hidupnya bahagia dengan kehadiran seorang cahaya mata yang dimilikinya kini. Faktor usia yang semakin meningkat juga membuatkan dia tidak terfikir untuk hamil sekali lagi.

“Saya rasa cukuplah ada Aaisyah sahaja, tidak perlu untuk tambah anak lagi. Jujurnya, saya memang sudah tidak nampak yang saya akan dapat anak lagi selepas ini. Ada seorang ini pun sudah cukup bersyukur.

“Apabila saya kata tidak mahu tambah anak, itu bukan bermakna zuriat seperti penghalang dalam hidup tetapi apabila Aaisyah lahir, saya sangat bersyukur dan rasa cukuplah dengan seorang anak sahaja,” ujarnya ketika ditemui ketika majlis rumah terbukanya di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Namun pada masa sama, pengacara program Primadona itu tidak menolak sekiranya rezeki untuk mendapatkan zuriat masih berpihak kepadanya kelak.

“Saya bersyukur dengan apa yang dikurniakan sekarang. Saya sudah punya dua anak lelaki dan seorang perempuan. Andai kata ditakdirkan rezeki untuk hamil sekali lagi, siapa saya untuk menolak.

“Kalau Zain mahukan anak lagi selepas ini, saya tidak boleh cakap apa-apa. Hanya buat masa sekarang saya masih belum ada perancangan atau menyimpan hasrat untuk hamil lagi.

“Bagi saya, apa yang penting sekarang adalah proses tumbesaran Aaisyah. Saya mahu dia membesar dengan sihat dan normal seperti kanak-kanak lain di depan mata,” ujarnya sambil menambah Aaisyah kini semakin aktif dan berat badannya juga sudah naik kepada 11 kilogram.

Dalam perkembangan terkini kariernya, Che Ta sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah program santai bual bicara berjudul Teh Tarik Che Ta untuk tayangan di saluran TV 1.

Program sebanyak 13 episod itu merupakan rancangan bual bicara santai dengan mengetengahkan topik berkenaan barisan artis-artis lama. Menariknya, selain berbicara mengenai artis yang terlibat, program tersebut turut menonjolkan kemahiran Che Ta menyajikan minuman teh tarik kepada artis undangan dalam setiap episod.

“Saya berhadapan banyak cabaran untuk program ini. Ini program kedua selepas Primadona dan ia ternyata jauh berbeza. Dalam Primadona, saya diberikan skrip dan ia amat memudahkan kerja tetapi dalam program ini, saya perlu menghasilkan skrip sendiri.

“Setiap kali sebelum menemu ramah artis undangan terlibat, saya perlu kaji dengan lebih mendalam mengenai sejarah dan kisah hidup mereka. Walaupun nampak mencabar tetapi ia sebenarnya sangat seronok sebab sedikit sebanyak mampu menambah pengetahuan saya tentang artis lama,” ujarnya ceria.

Ditanya mengenai dunia lakonan, Che Ta hanya melemparkan senyum. Ujarnya, tidak pernah terdetik perasaan rindu terhadap bidang lakonan sementelah kini hidupnya begitu padat terisi dengan pelbagai jadual lain.

Malah, keutamaan kepada keluarga dan anak kecil membuatkan dia begitu teratur dalam memilih kerja. Ujarnya, selepas melahirkan Aaisyah, dia berubah menjadi tidak senang duduk ketika di tempat kerja dan berharap dapat pulang awal ke rumah bagi menghabiskan masa bersama puteri kesayangannya itu.

“Saya tidak sempat mahu rindu dunia lakonan. Macam mana mahu rindu kalau setiap hari sibuk dengan program lain. Disebabkan terlalu padat dengan aktiviti mengacara, bisnes dan keluarga, jadi saya tidak pernah terfikir untuk berlakon buat masa sekarang.

“Bukan tidak pernah dapat tawaran. Memang banyak rezeki yang saya dapat. Baru-baru ini saya ditawarkan berlakon dalam drama 13 episod. Namun, saya masih belum putuskan sama ada mahu menerimanya atau tidak.

“Sekarang saya agak selektif dalam memilih tawaran. Bukannya memilih sebab harga tetapi semuanya kerana masa. Kalau berlakon dalam drama berepisod panjang, ia memakan masa yang lama. Berbeza dengan pengacaraan, walaupun ada banyak episod tetapi masa penggambaran untuk satu episod boleh disiapkan dalam masa satu hari sahaja,” ujarnya panjang lebar.

Previous Post Next Post