Christina Applegate Ratu TV ke layar perak


Christina Applegate

SIAPA sangka, memiliki wajah persis pelakon terkenal, Jennifer Aniston membawa tuah kepada aktres Christina Applegate.

Ini kerana, pelakon berusia 43 tahun ini terpilih menjadi pelakon undangan dalam siri Friends menerusi episod The One with Rachel’s Other Sister sekali gus menjadi Amy Green iaitu adik kepada Rachel Green yang dilakonkan oleh Aniston.

Lebih istimewa, biarpun hanya muncul untuk dua episod, Applegate berjaya meraih anugerah Pelakon Wanita Undangan Terbaik dalam Siri Komedi, Anugerah Emmy ke-55.

Meskipun dilihat sebagai individu yang sentiasa ceria, anak kelahiran Los Angeles, California ini sebenarnya adalah seorang yang pemalu.

"Saya selalu malu dan berasa kerdil. Ibu selalu kata sewaktu kecil dahulu dia perlu memastikan saya selamat jika bergaul dengan kanak-kanak lain di sekolah," katanya yang membesar sebagai anak selebriti kerana bapanya, Robert William Applegate adalah seorang penerbit manakala ibunya, Nancy Priddy merupakan seorang penyanyi dan pelakon.

Applegate memulakan kerjaya seninya sejak berusia lima bulan selepas menjadi bintang iklan. Meningkat remaja, dia banyak mengikuti ibunya menghadiri sesi uji bakat televisyen mahupun layar lebar.

Malah, berkat bantuan ibunya, Applegate berjaya mendapatkan peranan pertamanya menerusi filem Jaws of Satan dan diikuti Beatlemania, 1981.

Namun, Applegate layak digelar ratu bagi program televisyen (TV) lantaran kekerapannya membintangi siri TV.

Antara siri TV yang dibintanginya adalah Father Murphy (1981), Grace Kelly (1983), Charles in Charges (1984-85), Washingtoon (1985), Silver Spoons (1986), All Is Forgiven (1986), The New Leave It to Beaver (1985-86), Amazing Stories (1986), Heart of the City (1986-87), Family Ties (1987), 21 Jump Street (1988), Dance ‘Til Dawn (1988), Top of the Heap (1991), Pauly (1997), Married with Children (1987-1997), Jesse (1998-2000), Prince Charming (2001), Friends (2002-2003), Father of The Pride (2004), Suzanne’s Diary for Nicholas (2005), Reno 911! (2008), Star-ving (2009), Samantha Who? (2007-2009) dan Up All Night (2011-2012).

Bagaimanapun, dia turut membintangi beberapa filem terkenal seperti Don’t Tell Mom the Babysitter’s Dead (1991), Mars Attacks! (1996), Nowhere (1997), The Big Hit (1998), The Giving Tree (2000), The Sweetest Thing (2002), Wonderland (2003), Anchorman: The Legend of Ron Burgundy (2004) dan Anchorman 2: The Legend Continues (2013).

Selain itu, wanita cantik ini menjadi peminjam suara untuk filem animasi Alvin and the Chipmunks: the Squekquel (2009), Cats & Dogs: The Revenge of Kitty Galore (2010), Alvin and the Chipmunks: Chipwrecked (2011) dan The Book of Life (2014).

Bebas kanser payudara

Jangan tidak tahu, ibu anak satu ini pernah menderita kanser payudara selepas didiagnosis pada Ogos 2008. Selepas dua kali menjalani pembedahan, wanita ini akhirnya disahkan bebas sepenuhnya daripada penyakit itu.

Katanya, tindakannya membuat pemeriksaan kesihatan awal benar-benar memberi peluang besar kepada dirinya.

Ini kerana ibunya merupakan pesakit kanser payudara dan rahim dan pemeriksaan yang dibuatnya menyebabkannya sembuh lebih awal.

Menceritakan pengalamannya berhadapan dengan penyakit itu, Applegate mendedahkan dia enggan dipeluk untuk beberapa minggu bahkan merahsiakan penyakit yang dialaminya itu daripada krew televisyen.

Dia memberitahu hos rancangan bual bicara, Ellen DeGenere bahawa dia kembali ke set untuk meneruskan sitkom Samantha Who? setelah lima minggu menjalani pembedahan mastektomi.


"Hanya jurusolek, pendandan rambut dan beberapa teman rapat tahu. Saya tolak daripada memeluk orang ramai namun kini selepas sembuh, saya tidak melepaskan anda," selorohnya.

Mengerti kesakitan dan kesedihan penghidap kanser payudara, Applegate lantas bangkit serta berikrar membantah garis panduan baharu Amerika Syarikat yang mencadangkan hanya wanita berusia 50 tahun ke atas patut menjalani pemeriksaan payudara.

"Jangan pernah putus asa kerana diagnosis doktor. Bangkitlah dan tumbuhkan rasa percaya diri kalau anda boleh sembuh," ucapnya.

Kagumi Chris Hemsworth?

Dalam perkembangan lain, Applegate muncul sebagai salah satu pelakon dalam filem komedi, Vacation arahan John Francis Daley dan Jonathan Goldstein. Filem ini turut membariskan barisan pelakon popular seperti Ed Helms, Leslie Mann dan Chris Hemsworth.

Berpeluang berlakon dengan Hemsworth membuatkan Applegate kagum dengan tubuh kekar yang dimiliki oleh bintang filem Thor itu.

Menerusi laporan Aceshowbiz, keadaan itu menyebabkan wanita ini menginginkan susuk tubuh seperti itu.

Bahkan, aktres itu turut meluahkan rasa hairannya bagaimana aktor berusia 31 tahun itu memiliki tubuh sasa sebegitu.

"Saya mengagumi dengan dada bidangnya itu. Ia membuatkan saya tenang ketika melalui penggambaran," katanya.

"Ketika saya bertanya kepada Hemsworth tentang dadanya itu, lelaki itu hanya mengatakan dia tidak melakukan apa-apa sebaliknya hanya bersenam. Dia sepertinya tak mahu berkongsi rahsianya," katanya.

Vacation mengisahkan seorang bapa, Rusty Griswold berusaha mengeratkan hubungan kekeluargaan mereka apabila mengambil keputusan membawa isteri, Debbie dan dua anak lelakinya, James dan Kevin, mengembara ke taman tema popular di Amerika, Walley World, sebelum ia ditutup buat selamanya.

Apakah yang berlaku? Jangan lupa saksikannya di pawagam mulai 27 Ogos ini.

Previous Post Next Post