Faizal Hussin ke Hollywood



TUAH nampaknya semakin menyinari pelakon kacak bernama Faizal Hussein ini. Bukan sahaja mempunyai nama yang besar dan bersih dalam industri hiburan di Malaysia, malah beliau kini telah dirisik oleh produksi dari Hollywood yang menerbitkan siri penjelajahan online popular berjudul Marco Polo di www.netflix.com.

Sedang bersiaran untuk musim kedua, produksi Hollywood ini telah menghubungi Faizal untuk membintangi drama bersiri tersebut yang dijadualkan akan berlangsung sekitar bulan September hingga Disember, tahun ini.

“Secara lisannya saya telah pun bersetuju dengan tawaran itu tapi soal tarikh, bayaran dan perjanjian saya belum ke sana lagi untuk buat secara rasmi.

“Apa yang saya boleh cakap memang mereka ada hubungi saya untuk berlakon dalam siri tu dan minta saya lapangkan jadual saya selama empat bulan sampai Disember nanti. Yang membuatkan saya yakin nak berlakon dengan mereka sebab saya tahu pelakon kita, Bront Palare pun pernah berlakon di sana dan itu membuatkan saya yakin untuk terima.

“Syukur Alhamdulillah di kala usia saya 48 tahun saya masih diterima dan diberi peluang untuk melebarkan sayap ke peringkat yang lebih tinggi. Semua ini terjadi apabila mereka menyaksikan sendiri lakonan saya dalam Bunohan dan saya sendiri ada pergi casting 72 minggu sebelum tawaran itu,” katanya kepada Zass.


Bunohan adalah antara 72 filem yang tersenarai dalam Academy Awards 85.

Marco Polo merupakan kisah sang penjelajah berbangsa Eropah yang dilahirkan di Venice, Itali. Beliau mengabadikan setiap perjalanan dan penjelajahannya di seluruh dunia dengan menghasilkan banyak buku, lalu dari situ kisah penjelajahannya diterbitkan menjadi filem dan siri drama popular.

Penggambaran siri Marco Polo untuk saluran Netflix.com kini sedang giat dijalankan di Pinewood Studio, Hollywood.


Teruja berlakon dengan Tun M

Dalam perkembangan lain, Faizal yang tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Terbaik menerusi Filem Manisnya Cinta Di Cappodocia dalam Festival Filem Malaysia ke 27 ini, akan muncul sebagai hero dalam filem Kapsul.

Filem berunsurkan komedi itu turut dibintangi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai penampilan istimewa yang melibatkan babak Faizal bertemunya.

“Saya memang teruja dapat berlakon dengan Tun. Ia memang salah satu sebab saya terima tawaran filem ini,” kata Faizal.

Menurutnya, Kapsul akan ditayangkan pada 17 September iaitu bersempena dengan sambutan Hari Malaysia yang disambut pada 16 September.

“Tarikh tayangan memang signifikan dengan filem ini. Saya tidak sabar mahu penonton turut sama-sama menjiwai perjalanan saya yang merentas empat zaman Perdana Menteri yang berbeza dan turut menyampaikan visi dan ideologi Tun M sendiri.

“Banyak unsur sejarah dalam empat zaman Perdana Menteri disampaikan dalam filem ini. Bagi saya elemen CGI yang mantap dan banyak untuk menggambarkan perjalanan saya memasuki empat zaman ini, pasti menghiburkan penonton khususnya kanak-kanak,” sambungnya lagi.

Kata Faizal, karya arahan Martias Ali ini akan mengetengahkan babak di mana Tun M keluar dari sebuah kereta baru keluaran Proton.

Previous Post Next Post