MENGAKUI silap melakukan tindakan memuat naik 'screen shot' perbualannya di We Chat bersama Fizz Fairuz, Fara Mendoza berkata, dia berharap semua yang berlaku dapat ditamatkan dengan baik.
Jelasnya pelakon Suamiku Encik Sotong ini, dia tidak mahu memperbesarkan perkara itu lagi.
"Saya akui membuat silap apabila membuat tindakan sebegitu. Walaupun dia tidak mengaku tetapi saya mempunyai bukti bahawa dia yang berbual dengan saya.
"Tetapi semua itu sudah tidak penting lagi, jika saya tunjukkan bukti tersebut, mungkin sesuatu yang lebih buruk akan terjadi kepada rumah tangga mereka.
"Lagipun, sekarang ramai yang menuding jari kepada saya. Jadi lebih saya berdiam diri," katanya kepada Zass.
Menganggap perkara itu sebagai pengalaman sebagai orang baru di dalam industri, ujar Fara , dia sebenarnya takut jika perkara tersebut memberikan kesan kepada perjalanan seninya.
"Saya masih baru, saya harap sangat orang di luar memberi peluang kepada saya.
"Kesilapan ini banyak memberikan pengajaran kepada saya, malah keluarga juga meminta saya supaya lebih berhati-hati selepas ini," katanya.
Kerana itu juga, Fara telah membuang 'screen shot' tersebut selepas beberapa minit dia memuat naik status bersama gambar berkenaan.
Malah jelasnya, dia bernasib baik kerana rakannya, Emma Maembong menyedari perkara itu dan menasihatinya supaya segera memadamnya.
Kenal di lokasi penggambaran
Dalam pada itu, berkongsi kisah perkenalannya bersama Fizz, kata Fara, mereka bertemu di set penggambaran Hantu Rumah Sakit Jiwa.
"Sebenarnya saya hanya kenal dia ketika menanami Emma ke lokasi penggambaran drama tersebut.
"Kebetulan pula Fizz juga berlakon menerusi drama itu. Tetapi saya tidak tahu daripada mana dia mendapatkan akaun We Chat saya," jelasnya.
Tambahnya, selepas dia memuat naik status tersebut, Fizz telah menghubunginya dan memintanya memadamkan status tersebut dengan segera.
"Semuanya sudah berlaku dan saya harap jangan menghakimi saya sahaja," katanya.
Sedikit mengenai penglibatan pelakon berusia 25 tahun ini dalam bidang seni, karier seninya bermula sekitar beberapa tahun lalu.
Dia juga merupakan pelakon sampingan bagi beberapa drama popular tempatan seperti Projek Memikat Suami, Suamiku En Sotong dan Stiletto Merah.