Irma Hasmie Tegurlah dengan berhemah


BAHAGIA. Irma lebih memberi perhatian terhadap keluarga selepas mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Redza Shah Azmeer sekitar tiga tahun lalu.

KISAH penghijrahan yang berlaku dalam kalangan selebriti bukan satu perkara baharu. Buktinya, sejak kebelakangan ini, dunia hiburan tempatan sering menerima perkhabaran gembira apabila ramai artis wanita mengambil keputusan untuk mengenakan hijab.

Walaupun kebanyakan kisah penghijrahan menerima reaksi positif daripada peminat, namun ada segelintir selebriti dikecam akibat mengenakan pakaian yang tidak bersesuaian dengan imej wanita menutup aurat.

Menyifatkan situasi berkenaan sebagai perkara yang kurang sihat, pelakon Irma Hasmie menasihati pengguna internet supaya tidak cepat melatah dengan melemparkan komen-komen berbaur negatif kepada selebriti terlibat terutamanya di laman-laman sosial.

Irma yang ditemui pada sidang akhbar konsert Ku Mohon Tuhan Berikan Aku Cinta di Hotel Royale Chulan, Damansara, Selangor baru-baru ini menambah, pendekatan yang lebih berhemah perlu diterapkan agar apa yang ingin disampaikan dapat diterima dengan positif.


Artis Meletop!: Sebagai artis yang telah lama berhijab, apakah pandangan Irma mengenai kritikan yang sering diterima oleh artis wanita yang baru mengenakan tudung tetapi tidak menjaga aurat sepenuhnya?

IRMA: Apabila seseorang artis itu mengambil keputusan untuk menutup aurat, ia sudah menunjukkan individu itu mahu berubah ke arah kebaikan. Jadi, jika dia mengenakan baju yang agak ketat dan tidak sesuai digayakan oleh wanita bertudung, tegurlah dengan lemah lembut. Sebagai umat Islam, kita perlu sentiasa memberi sokongan terhadap apa jua kebaikan yang dilakukan oleh saudara Islam lain. Jangan terus ‘menembak’ mereka dengan kritikan yang pedas. Ia mungkin boleh melemahkan semangat mereka untuk terus menutup aurat.

Apakah pendapat anda mengenai artis yang mengenakan tudung tetapi tidak menjaga tatasusila sebagai wanita yang menutup aurat?

Bagi saya, setiap individu memerlukan masa untuk berubah secara beransur-ansur. Tidak ramai yang mampu mendalami ilmu agama dengan cepat. Beritahu mereka, jika mahukan sebuah penghijrahan yang lengkap, setiap perkara yang tidak elok perlu dielakkan. Insya-Allah, jika betul pendekatannya, maka baiklah hasilnya.

Bagaimanakah pula dengan kebanyakan artis bertudung yang terlalu mengikut fesyen terkini?

Mengikut trend itu tidak salah. Namun, perlu berpada-pada dan bersederhana agar tidak melanggar syariat Islam.

Ada juga pelakon yang takut tawaran berlakon berkurangan jika mengenakan tudung. Komen?

Jangan takut, sebagai hambaNya, rezeki kita telah ditentukan Allah. Saya akui telah hampir dua tahun tidak berlakon, tetapi alhamdulillah, rezeki dalam bidang pengacaraan pula semakin bertambah. Sebenarnya, jika kita melakukan perintah Allah, lebih banyak rezeki akan diperoleh.

Menyentuh mengenai bidang lakonan, adakah anda tidak mahu kembali berlakon?

Buat masa ini, saya lebih selesa bergelar pengacara. Lebih-lebih lagi bidang pengacaraan tidak memerlukan saya berada terlalu lama di lokasi penggambaran. Lagipun, saya ingin melihat dua cahaya mata saya, Redza Syah Irfhan, 2, dan Irma Nur Naylie, 1, membesar di depan mata. Jika diberi kesempatan, mungkin saya akan kembali berlakon, itu pun jika anak-anak sudah besar.

Boleh ceritakan mengenai perkembangan terbaharu anda?

Selain sibuk menyertai aktiviti bersama Islamic Relief Malaysia selepas dilantik sebagai ikon yayasan tersebut, saya kini terlibat sebagai pengacara untuk rancangan Kerja Kahwin. Rancangan tersebut berkisar tentang adat dan tradisi yang diamalkan masyarakat Melayu di Malaysia dalam melangsungkan majlis perkahwinan.

Previous Post Next Post