Izreen Azminda, bekas suami baik demi anak


IZREEN bersama anaknya, Adrian sewaktu meraikan ulang tahun kedua anak sulungnya itu.

KEHARMONIAN sesebuah keluarga tidak hanya bergantung kepada nilai ikatan, namun ia berlandaskan keikhlasan demi menjamin wasilah yang sebelum terbina kekal utuh sehingga ke hari ini.

Enggan memutuskan silaturahim, pelakon jelita Izreen Azminda masih mengekalkan hubungan bersama bekas suami, Muhammad Riza Baharudin meskipun masing-masing membawa haluan sendiri selepas sah bercerai talak satu tahun lalu.

Izreen yang tampak anggun bertudung tidak pernah lekang bertemankan senyuman di bibir. Dia kelihatan teruja meraikan majlis akikah dan sambutan hari jadi puteranya, Muhammad Adrian Umar yang kini menginjak usia dua tahun.

Sambutan diadakan penuh meriah dengan kehadiran kedua belah keluarga. Persekitaran Restoran Casa Ombak, Jalan Damai terhias indah dengan khemah berwarna putih dan puluhan belon pelbagai rona bagi mewujudkan suasana ceria.


Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran selebriti Fasha Sandha dan Ika Nabila termasuk beberapa rakan dari rumah produksi Zeel dan kenalan rapat Izreen serta Riza.

Menariknya selain meraikan Adrian, kemunculan pertama kali Izreen dan Riza bersama selepas bercerai mencuri perhatian hadirin yang hadir. Kedua-dua tampak mesra seperti sebuah keluarga.


DEMI memastikan kebajikan anak terjamin, Izreen dan Riza mengekalkan hubungan baik antara satu sama lain.

Namun, wanita berusia 30 tahun itu hanya melemparkan senyuman apabila diusik dengan soalan nakal sekiranya cinta mereka bertaut kembali.

Tidak bermaksud membuka lipatan episod duka, Izreen enggan meletakkan sebarang harapan untuk menjalin semula hubungan dengan Riza, sekali gus kembali menyandang gelaran suami isteri.

Sebaliknya, dia meletakkan anak sebagai ‘batu sempadan’ agar masing-masing tidak melampaui batas hubungan sebagai teman. Tidak berniat menidakkan kuasa Tuhan tetapi pelakon kelahiran Kangar, Perlis itu berserah harap kepada takdir.

Meletakkan anaknya sebagai tanggungjawab utama, Izreen akan memastikan segala kelengkapan dan keperluan harian Adrian tersedia. Berbanding Riza, tumpuannya lebih menjurus ke arah kebajikan kesihatan dan pendidikan.

“Kami masing-masing telah membuat keputusan untuk mengekalkan hubungan sebagai kawan baik. Tidak perlu wujud persoalan sama ada akan bersama atau tidak.

“Sebagai ibu bapa, masa depan anak-anak penting meskipun pasangan suami isteri itu telah berpisah,” katanya sambil tersenyum.

Pelakon drama Eksperimen Cinta itu mengakui dirinya kini selesa menyandang gelaran solo.

“Saya tidak mampu menyekat apa yang diperkatakan oleh peminat atau permintaan mereka untuk melihat kami kembali bersama tetapi cukup hubungan itu terjalin atas dasar tanggungjawab dan masa depan anak (Adrian),” ujarnya.


ADRIAN teruja memotong kek hari jadi sambil diperhatikan oleh ibu dan bapanya.

Dia bagaimanapun bersikap realistik dengan menyatakan, sebagai manusia biasa jika jodohnya sudah tertulis kembali kepada Riza, dirinya tidak punya kuasa untuk menolak.

“Segalanya bergantung kepada kuasa Tuhan, siapa saya untuk menolak takdir. Sekiranya jodoh tertulis bersatu semula saya terima. Namun, buat masa sekarang hubungan kami cukup sekadar teman baik,” jelasnya.

Bercerita soal pasangan, Izreen tidak terlalu terdesak untuk mencari pengganti baharu meskipun naluri kewanitaannya memerlukan kehadiran insan bergelar suami sebagai pendamping.

Previous Post Next Post