Pelakon Karl Shafek meluahkan rasa risau kerana masih belum berkahwin walaupun usia semakin meningkat tua.
Karl atau nama sebenarnya Khairul Shafek Ibrahim, 35, berkata, dia enggan menjadi seperti dua abangnya yang mendirikan rumah tangga selepas berusia 40 tahun, namun terpaksa akur andaikata jodohnya lambat tiba.
"Dahulu saya pernah meletakkan sasaran berkahwin pada usia 28 tahun, siap nak masuk risik dan tunang, tetapi jodoh tak panjang pula.
"Kemudian saya meletakkan sasaran 35 tahun tetapi sehingga kini teman wanita pun tidak ada. Risau juga saya tak kahwin-kahwin lagi. Kalau boleh, tak mahulah kahwin lambat.
"Mak saya tidak pernah bertanya tentang hal-hal berkaitan cinta tetapi pada sambutan raya baru-baru ini, dia tanya, 'takkan yang dulu tu last girlfriend?' Saya terkedu," katanya kepada Artis Meletop.
Karl Shafek
Karl diminta mengulas mengenai kehidupan peribadinya yang masih belum menemui cinta hati.
Dalam pada itu, Karl turut mendedahkan mengenai wanita idaman yang dirasakan sesuai sebagai bakal isterinya kelak.
"Saya suka wanita yang kelakar. Naik rimas rasanya dengan wanita terlebih manja dan gedik. Apa-apapun wanita tersebut mestilah seorang yang berwawasan tinggi dalam melihat masa depannya selain seorang yang business minded," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Karl kini sibuk mengendalikan program-program televisyen selain menjadi pengacara majlis.
"Setakat ini, lakonan saya berjudul Rindu Awak 200% Raya baru saja disiarkan di TV3. Tetapi buat masa ini fokus keutamaan saya adalah menjadi pengacara di televisyen atau majlis-majlis. Memang itu minat saya. Maka tawaran kerja-kerja lakonan akan ditolak sekiranya kerja pengacara yang datang dulu.
"Saya tahu orang akan bertanya, tak takut ke penerbit dah tak nak panggil berlakon?. Saya percaya rezeki ada di mana-mana dan pihak produksi pun pasti faham dengan saya," ujarnya.