Percubaan penyanyi Nabil Zamanhuri dalam bidang kesan khas (CGI) menerusi filem Terbaik Dari Langit membuahkan hasil apabila dicalonkan dalam kategori Kesan Khas Terbaik di Festival Filem Malaysia 27 (FFM 27).
Nabil, 28, berkata, dia baharu sahaja berjinak-jinak dalam bidang tersebut beberapa tahun lalu selepas menamatkan pengajian dalam jurusan Filem Dan Animasi di Universiti Multimedia Malaysia (MMU).
"Alhamdulillah, sejujurnya memang terkejut apabila nama saya dicalonkan dalam di anugerah berprestij FFM 27 bersama nama-nama hebat yang lain.
"Kalau nak diikutkan ini adalah projek besar pertama saya dengan syarikat sendiri iaitu Nabil Production, sebelum ini ada juga buat freelance tapi untuk projek kecil-kecil sahaja," ujarnya kepada mStar Online pada Isnin.
Menerusi kategori itu, Nabil akan bersaing dengan Bruce Lee Yong Loong (Kami Histeria), Mirege Works (Sevent), Weng Meng Hee (Hungry Ghost Ritual) dan Viper Studios (Abang Long Fadil).
FFM 27 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 5 September depan dan akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria pulul 8.30 malam.
Dalam pada itu, kata Nabil pencalonan tersebut juga memberi semangat kepadanya untuk terus aktif dalam industri perfileman tanah air.
"Proses tersebut memakan masa agak panjang iaitu enam hingga tujuh bulan dan dalam tempoh tersebut banyak juga cabaran yang terpaksa kami lalui terutamanya aspek kekurangan pekerja," ujarnya.
Selain itu, katanya, pembabitan dia dalam bidang animasi dan perfileman adalah untuk meluaskan cabang seni selain bidang nyanyian.
Dia uga masih aktif dalam bidang nyanyian dan baharu sahaja melancarkan single terbaharu berjudul Beku.
"Saya terlibat dalam bidang ini bukan sebab saya ingin melupakan nyanyian. Ini adalah salah satu cabang seni yang saya minat dan saya belajar ketika di universiti.
"Kalau tumpu pada satu bidang sahaja akan membuatkan saya bosan. Saya baru sahaja lancar single baharu berjudul Beku," katanya.