AGAK jarang mendengar cerita mengenai juara Akademi Fantasia (AF) kelima ini sejak dirinya melibatkan diri dalam bidang perniagaan dua tahun lalu.
Pun begitu, itu bukan bermakna penyanyi berusia 27 tahun ini telah melupakan bidang seni sebaliknya, empunya nama Norsyamilla Jirin ini masih aktif sebagai penyanyi.
"Saya sebenarnya masih menyanyi, cuma saya jarang muncul di kaca televisyen (TV), tetapi saya banyak melibatkan diri menerusi program siaran langsung di media massa.
"Oleh sebab itu, ramai yang ingat saya tidak menyanyi lagi, walhal itu tidak berlaku kerana saya masih aktif menerima undangan nyanyian oleh badan-badan korporat serta NGO untuk pelbagai jenis program di seluruh negara.
"Cuma buat masa ini, seperti saya katakan, saya agak hadkan aktiviti seni bagi menguruskan perniagaan yang semakin berkembang," kata anak jati Teluk Kumbar, Pulau Pinang ini.
Dalam pada itu, sejak kebelakangan ini penyanyi yang lebih dikenali sebagai Mila Jirin ini kembali mencuri tumpuan peminat seni apabila dia dikatakan bakal mengakhiri zaman solonya tahun ini bersama pengurusnya sendiri, Isz Mustapha.
Berkongsi mengenai perkara itu, akui Mila, dia kini sedang sibuk menyelesaikan beberapa urusan perkahwinan.
"Insya-ALLAH, saya akan menamatkan zaman bujang tahun ini. Mengenai tarikhnya pula, insya-ALLAH bila kad kahwin sudah siap saya akan beritahu.
"Lagipun persiapan perkahwinan baru 20 peratus siap, setakat ini hanya kursus perkahwinan serta booking ballroom untuk majlis persandingan yang sudah diuruskan.
"Oleh kerana majlis perkahwinan saya nanti akan diuruskan oleh Bizmilla Catering, jadi saya tak risau dan meletakkan 100 peratus kepercayaan kepada Bizmilla Catering untuk menguruskannya," kata Mila majlis perkahwinan dan persandingannya akan diadakan di Pulau Pinang.
Ditanya apakah dia akan meneruskan kariernya sebagai anak seni selepas bertukar status, jelasnya, dia dan bakal suami tidak mempunyai halangan mengenai perkara itu.
"Insya-ALLAH, selepas berkahwin saya akan teruskan hobi saya dan kerjaya saya sebagai anak seni.
"Bakal suami saya tidak pernah menghalang malah, sering memberi galakkan. Cuma mungkin saya akan hadkan dan menyaring dahulu program-program yang ditawarkan, " katanya.
Lancar single baharu
Tidak hanya tertumpu kepada sisi peribadi, Mila sebenarnya bakal mengubati kerinduan peminatnya dengan buah tangan terbaru tidak lama lagi.
"Kalau tiada aral, saya akan tampil dengan sebuah lagu berjudul Bukan Isteri Sempurna di bawah terbitan Nova Music pada September.
"Lagu itu akan dijadikan lagu tema utama drama bersiri Bukan Isteri Sempurna yang bakal ditayangkan di TV3 untuk slot Samarinda tidak lama lagi," katanya telah merakamkan tiga lagu bersama Nova Music setakat ini.
Tambah penyanyi yang popular menerusi lagu Aku Lebih Tahu ini, tiga lagi lagu yang dirakam termasuklah bersama Nubhan iaitu Hampir Jauh.
"Lagu lain pula adalah Bonela ciptaan sepenuhnya oleh Kunci Demak termasuklah Bukan Isteri Sempurna,” kata Mila Nova Music masih dalam perancangan melancarkan lagu berkenaan dan menunggu masa sesuai.
Bercerita mengenai album pula, katanya, dia lebih selesa mengeluarkan single.
"Trend masa kini lebih kepada single album berbanding album penuh, Insya-ALLAH, pada masa mendatang jika koleksi lagu-lagu baru sudah banyak, mungkin ia akan dialbumkan menjadi album terbaru," katanya.
Ubat kerinduan peminat
Akui Mila, buat masa ini, 100 peratus tumpuannya diberikan kepada bidang perniagaan.
"Sejak dua tahun lepas lagi, saya banyak memberikan fokus kepada bidang perniagaan tetapi saya juga mempunyai perancangan dalam bidang seni.
"Selepas berkahwin nanti ada perancangan besar untuk kerjaya seni saya, saya tidak boleh ‘reveal’ sekarang kerana ia masih dalam peringkat perbincangan dan belum mendapat kata putus. Yang pastinya, ia bakal mengubat kerinduan peminat," katanya.
Menerusi bidang perniagaan pula, Mila mempunyai empat perniagaan iaitu Bizmilla Catering, Baju Kurung Mila, Restoran Embun Urai dan Luvmila Corporation.
"Alhamdullilah, syukur bisnes saya berjaya, jika semuanya berjalan lancar, saya mungkin akan menceburi bidang perniagaan hartanah pula," katanya.