Pesona Kate Beckinsale


Kate Beckinsale

TITIK perjalanan Kate Beckinsale dalam dunia Hollywood bermula selepas aktres jelita ini membintangi filem Much Ado About Nothing arahan Kenneth Branagh pada 1993.

Menariknya, ketika itu pemilik nama sebenar Kathrin Romary Beckinsale ini masih lagi bergelar mahasiswi di Oxford University.

Sebelum itu, dia lebih kerap muncul dalam beberapa produksi televisyen (TV) di Britain pada 1991.

Anak kelahiran Finsbury Park, London ini kemudiannya terus menimba pengalaman dalam beberapa drama British termasuk Prince of Jutland (1994), Cold Comfort Farm (1995), Emma (1996) dan The Golden Bowl (2000) yang mendapat pujian pengkritik di sana.

Namun, karier seni Beckinsale semakin berkembang selepas dia berhijrah ke Amerika Syarikat pada penghujung 1990-an.

Dia mula mendapat peluang berlakon menerusi drama The Last Days of Disco (1998) dan Brokedown Palace (1999) sehingga akhirnya mendapat tawaran besar untuk berlakon dalam filem perang dan epik cinta terkenal, Pearl Harbor melalui peranannya sebagai Nurse Lt. Evelyn Johnson iaitu jururawat tentera pada 2001.

Tidak terhenti di situ, dia berpeluang menunjukkan bakatnya menerusi karya komedi romantik, Serendipity (2001) selain tampil dalam filem biopik, The Aviator (2004) dan Click (2006).


Populariti Beckinsale terus menjulang apabila membintangi banyak lagi filem pecah panggung terutamanya Underworld pada 2003, Van Helsing (2004), Underworld: Evolution (2006), Whiteout (2009), Contraband (2012) dan Underworld: Awakening (2012).

Nyata bakat lakonan satu warisan apabila aktres ini menyambung bakat lakonan ayah dan ibunya, Richard Beckinsale dan Judy Loe.

Bahkan, demi membina empayar lakonan yang lebih kukuh, Beckinsale dan suaminya yang juga pengarah tersohor, Len Wiseman kini menetap di Brentwood, Los Angeles.

Tolak botox, pembedahan kosmetik

Tidak hanya berlakon, wajah menawan Beckinsale juga dipinjam menghiasi iklan komersial seperti Gap, Diet Coke dan Lux. Tidak cukup dengan itu, pelakon berusia 42 tahun ini pernah dinobatkan sebagai Bintang Paling Seksi 2008 oleh majalah Esquire yang menyifatkannya sebagai cantik, tegas, bijak dan kuat.

Menganggap kecantikan itu sebagai satu perkara subjektif, Beckinsale bagaimanapun menolak kaedah moden seperti suntikan botox dan pembedahan kosmetik untuk kekal cantik.

"Bagi saya, itu hak peribadi masing-masing. Saya bukan hendak mengecam sesiapa, namun fenomena ini menyedihkan kerana manusia seharusnya mengikuti proses kehidupan ini secara semula jadi.

"Hari ini pula kita ada internet, Facebook dan Twitter, jadi ia membolehkan orang lain bercakap atau mengkritik apa saja mengenai wajah orang lain kalau mereka lihat sesuatu yang tidak kena dengan wajah itu. Jadi ia menambahkan lagi kesan tidak baik daripada perbuatan ini (suntikan botox).

"Saya tidak tahu apa akan terjadi pada masa depan, namun buat masa sekarang sangat bersyukur dengan apa yang dikurniakan kepada saya dan berharap dapat jadi seperti ibu saya sendiri yang tidak pernah melakukan apa-apa perubahan pada wajahnya," katanya yang mengamalkan yoga.

Berlakon filem komedi

Beckinsale bakal tampil dalam filem terbaharunya, Absolutely Anything arahan Terry Jones di samping aktor terkenal, Simon Pegg.

Menariknya, filem bergenre komedi dan sains fiksyen ini memaparkan kekuatan luar biasa manusia dalam meminta apa saja hasil daripada pemberian sekumpulan makhluk asing dari angkasa untuk kebaikan bersama dalam memelihara bumi.

Filem ini merupakan filem akhir yang dilakonkan oleh mendiang Robin Williams sebagai pengisi suara Dennis the Dog.

Bukan itu saja, filem ini menggabungkan kembali pelawak legenda Amerika Syarikat seperti Monty Phython, terdiri daripada John Cleese, Terry Gilliam, Eric Idle dan Michael Palin selepas kali terakhir berkolaborasi bersama menerusi filem Monty Python’s The Meaning of Life pada 1983. Mereka mengisi suara untuk alien.

Absolutely Anything mengisahkan Neil Clarke (Simon Pegg), seorang guru biasa di sekolah menengah mendapat kuasa luar biasa. Bagaimanapun, selepas memperolehnya, Clarke menggunakannya hanya untuk kepentingan dirinya sendiri.

Apakah yang terjadi? Jangan lupa nantikannya di pawagam mulai 20 Ogos ini.

Previous Post Next Post