Sam terlalu sibuk dengan kerjaya seni hingga tiada masa fikir soal kahwin.
Pelakon Shaheizy Sam menafikan dia sedang melakukan persiapan kahwin termasuk merancang untuk menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat seperti diperkatakan segelintir pihak.
Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 33, berkata, buat masa ini dia terlalu sibuk dengan kerja dan tidak mempunyai masa untuk melakukan sebarang aktiviti luar dari bidang seni.
"Demi Allah saya tiada buat sebarang persiapan untuk berkahwin sekarang ini, itulah yang saya selalu cakap kepada peminat, kalau nak baca cerita saya di blog-blog boleh tetapi kalau nak percaya sila bertanya saya dahulu.
"Saya tidak pernah salahkan mana-mana pihak yang buka cerita itu kerana mungkin mereka mahu saya berkahwin segera. Namun, kalau benar sudah ada tarikh nak berkahwin nanti saya akan beritahu," ujarnya kepada mStar Online, ketika ditemui pada sidang media pelancaran filem Polis Evo di Hard Rock Cafe, di sini, Isnin.
Shaheizy diminta mengulas tentang khabar angin dia bakal menamatkan zaman bujangnya dan kini sedang sibuk membuat persiapan perkahwinan.
Syatilla Melvin
Sementara itu, ditanya tentang wanita yang sering dikaitkan dengannya iaitu pelakon Syatilla Melvin, dia berkata wanita tersebut hanyalah sekadar teman rapat.
"Saya ada dengar orang bercakap bahawa dia sudah bersedia untuk berkahwin tapi tak tahulah. Kalau bercakap tentang kesediaan saya, saya sudah dua tahun saya bersedia.
"Setakat ini hubungan saya dan dia sama seperti kawan-kawan perempuan lain seperti saya berkawan dengan Fazura, Yana Samsudin dan bekas kekasih saya Puteri Najwa. Syatilla boleh disifatkan sebagai kawan rapat tapi bukan istimewa buat masa ini," ujarnya.
Dalam pada itu Sam turut berkata, dia sudah menyerahkan soal keputusan untuk berumah tangga kepada ibunya Khaty Fauziah kerana dia tidak mempunyai masa untuk memikirkan soal tersebut kerana terlalu sibuk dengan kerja.
"Saya ini terlalu sibuk dan banyak aktiviti, saya tidak boleh fokus untuk fikir soal kahwin. Apa yang saya fikir sekarang ialah untuk cari duit untuk ibu saya sahaja.
"Jadi saya serahkan soal jodoh pada ibu saya dan biar dia yang buat keputusan untuk kahwinkan saya dengan siapa sahaja dan bila-bila masa yang dia rasakan sesuai," ujarnya.
Sementara itu, bercerita tentang lakonannya dalam filem Polis Evo, Sam yang memeggang watak sebagai Khai berkata, dia terpaksa membuat bentuk badan sasa bagi menjayakan karakter sebagai seorang anggota polis.
Tindakan tersebut sebagai tanggungjawabnya seorang pelakon seperti mana yang dilakukan oleh pelakon-pelakon di Hollywood.
"Saya buat bentuk badan agar nampak benar-benar seperti seorang anggota polis dan bagi saya ia adalah perkara biasa yang dilakukan pelakon-pelakon di Hollywood.
"Mereka sanggup untuk mengubah keadaan fizikal untuk sesuatu watak itu, saya lakukan ini kerana saya rasa ia sesuatu yang penting," ujarnya.
Selain itu, Sam berkata, dia berbanga apabila berpeluang membawakan watak sebagai anggota polis dan merasai apa yang pernah dilalui oleh Allahyarham bapanya iaitu bekas Timbalan Ketua Polis Negeri Selangor, Abdul Samad Jaaman.
Filem Polis Evo turut dibintangi oleh Zizan Razak, Nora Danish dan Publo Amirul dan bakal ditayangkan di seluruh pawagam pada 17 September depan.