Wartawan Melodi Zuan Azmi mohon maaf isu gambar PM


Salinan paparan akaun Instagram wartawan Melodi, @zuanbikinpanas

PENGACARA dan wartawan Melodi, Zuan Azmi memohon maaf kerana tindakan beliau memuatnaik foto 'edit' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di laman foto, Instagram, baru-baru ini.

"Salam hormat kepada semua, dengan seikhlas hati & diiringi rasa rendah diri, saya Zuan Azmi dengan ini ingin sekali lagi memohon maaf atas ketelanjuran tindakan saya dalam bergurau sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan ke atas gambar YB Perdana Menteri Malaysia," kata Zuan semalam di Instagramnya, @zuanbikinpanas.

Beliau memohon maaf kepada Najib serta keluarga dan mana-mana individu atau rakyat Malaysia yang terkesan akibat perkongsiannya tersebut.

"Untuk makluman, gambar berkenaan bukanlah saya yang edit, cuma sy perolehi dari beberapa Whatsapp group saya setelah menjadi topik perbualan.

"Caption 'Amboi posing takmau kalah no' juga bukanlah posting menghina seperti yang didakwa segelintir pihak, namun ianya adalah gurauan dan sesuatu yang tidak patut dilakukan ke atas pemimpin negara," jelas beliau lagi.


Selain itu, beliau memberitahu bahawa akan lebih berhati-hati dan lebih bertanggungjawab dalam berkongsi apa sahaja di akaun Instagramnya selepas kejadian tersebut.

Kebanyakan pengikut akaun Instagram Zuan pula melahirkan rasa terima kasih dengan permohonan maaf berkenaan.

"It ain't funny though (Ia tidak kelakar). Moga muhasabah diri. Think before act (Berfikir sebelum bertindak)," kata @hazimah1409I.

"Maaf ye kalau saya cakap....kita ni semua tak sempurna dan pernah melakukan kesilapan.. Sama juga macam abang @zuanbikinpanas dia pon manusia biasa...dan dia pun sudah meminta maaf....wassalam," balas @nurulainhawani.

"Semua manusia tak lepas dari melakukan kesalahan..apa pun sifat memohon maaf itu amalan mulia.." kata @airissarossa

Foto perkongsian asal dipercayai telah dibuang oleh Zuan.

Previous Post Next Post