STATUS sebenar hubungan Zulin Aziz dan ahli kumpulan Forteen, Ariz mungkin masih menjadi tanda tanya ramai peminat. Manakan tidak, sehingga kini mereka sering memuat naik gambar-gambar mesra di Instagram milik mereka.
Masih berpegang pada pendirian sama, Zulin Aziz, mengakui jejaka tampan itu hanyalah teman baiknya sahaja.
“Apa yang saya boleh katakan, kami selesa berkawan rapat seperti ini. Sepanjang berkawan, kami 'sekepala' dalam banyak hal dan dia tak pernah jemu melayan karenah saya,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Grand Brilliance, baru-baru ini.
Bekas pengacara Melodi ini berkata, dia semakin menyenangi jejaka itu dan sudah mengenali keluarganya secara rapat.
“Saya sendiri kenal dengan keluarga Ariz, dan kedua-dua keluarga sudah tahu sejauh mana perhubungan kami.
“Pernah juga diajukan soalan sekiranya hubungan kami ke jinjang pelamin, dan saya menjawab semuanya dengan izin ALLAH.
“Kalau ada jodoh, adalah. Namanya pun jodoh, takkan kita nak tolak jodohkan,” katanya.
Berkongsi kisah perkenalan, Zulin berkata, mereka mula rapat sejak setahun lalu setelah bekerjasama dalam satu projek Kahwin.
“Ketika itu, saya menjadi ibu kepada Ariz. Dan daripada situ, tidak menyangka kami boleh menjadi rapat sehingga kini.
“Selain itu, sebelum ini juga, saya memang selesa dengan kumpulan Forteen. Selain kerja, saya akan lepak bersama kumpulan itu,” katanya yang turut menggelar Ariz sebagai Mr Google.
Kongsi impian
Berkongsi pula impiannya dalam bidang lakonan, Zulin memberitahu, sebolehnya dia mahu juga membawakan watak selain watak komedi.
“Kalau boleh saya nak keluar dari kepompong itu. Saya bukan mula dari pelakon komedi tetapi watak biasa, tetapi banyak tawaran dengan watak itu.
“Saya teringin membawakan watak berat atau antagonis. Insya-ALLAH, ada rezeki suatu hari nanti.
“Bila membawakan watak antagonis atau berbeza dengan watak sebenar saya, barulah dikatakan berlakon,” katanya.
Zulin juga mengakui sejak bertudung, tawaran membawakan watak berlainan sedikit terbatas.
“Seperti watak Mak Ayam, watak menggoda, itu semua tidak sesuai lagi saya bawakan walaupun itu watak yang pernah saya jayakan.
“Tetapi ada juga sesuai watak cikgu atau ustazah yang masih sesuai dengan saya,” katanya.